AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia catat aliran meningkat, dipacu pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Bursa Malaysia meneruskan aliran meningkat pada awal dagangan Selasa, didorong oleh harapan bahawa pelaksanaan program vaksin Covid-19 akan menggalakkan lagi pemulihan ekonomi tidak lama lagi.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran, meningkat 3.33 mata kepada 1,624.25 daripada 1,620.92 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 2.88 mata lebih tinggi kepada 1,623.80.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 317 berbanding 195 manakala 345 kaunter tidak berubah, 1,358 kaunter tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 560.06 juta unit bernilai RM275.18 juta.

Menurut Malacca Securities pihaknya yakin indeks utama akan meningkat lebih tinggi dalam keadaan unjuran ekonomi lebih cerah susulan ketibaan kumpulan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac yang lain di samping harga minyak sawit mentah dan minyak mentah lebih kukuh.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata Malaysia menerima 100,000 dos vaksin Sinovac dan 83,070 dos Pfizer-BioNTech pada Isnin.

Pfizer akan menghantar masing-masing 124,020 dos dan 125,190 dos lagi pada 22 Mac dan 29 Mac.

Beliau berkata 100,000 dos vaksin Sinovac juga akan tiba pada 22 Mac.

Malacca Securities yakin pelabur akan terus memberi tumpuan kepada saham dipacu pemulihan ekonomi susulan ketibaan beberapa kumpulan vaksin bulan ini.

“Sementara itu, saham teknologi dijangka mengalami peningkatan semula secara sederhana, menjejaki prestasi kenaikan Nasdaq dalam tempoh semalaman.

“Selain itu, proksi perladangan seperti segmen peralatan proses dan baja mungkin memperoleh daya tarikan memandangkan harga minyak sawit mentah yang lebih kukuh,” menurutnya dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Wall Street mengalami kenaikan semula daripada penurunan harian terendah selepas Dow (+0.5 peratus) mencatatkan peningkatan tujuh hari berturut-turut dipacu oleh keyakinan semakin bertambah terhadap pemulihan ekonomi dan kemajuan pelaksanaan vaksin.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) akan memulakan mesyuarat dua hari pada Selasa, dengan bank pusat itu dijangka menyemak unjuran ekonominya susulan bantuan rangsangan fiskal US$1.9 trilion.

Di peringkat tempatan, saham berwajaran tinggi, TNB naik 10 sen kepada RM10.76, sementara CIMB dan PetChem masing-masing menokok setengah sen kepada RM4.58 dan RM8.30.

RHB menambah lapan sen kepada RM5.55 dan Top Glove naik dua sen kepada RM5.20.

Bagaimanapun, Hong Leng Bank merosot 42 sen kepada RM18.80 dan Nestle susut 90 sen kepada RM136.20.

Teladan Setia, yang baru disenaraikan pada Selasa, mendahului kaunter aktif apabila meningkat 10.5 sen kepada 58.5 sen dengan lebih 78 juta saham diniagakan.

Widad naik empat sen kepada 72 sen, Komarkcorp menokok 3.5 sen kepada 38 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 21.66 mata kepada 11,906.47, FBMT 100 meningkat 20.66 mata pada 11,581.96 dan FBM Emas Syariah menambah 26.89 mata kepada 13,156.52.

FBM 70 menokok 16.01 mata kepada 15,640.54 dan FBM ACE melonjak 90.08 mata kepada 10,716.22.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 3.11 mata kepada 15,642.87, Indeks Perladangan meningkat 26.64 mata kepada 7,182.53 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.61 mata kepada 193.05.

– BERNAMA


Pengarang :