AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah sejajar prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Bursa Malaysia dibuka rendah sejajar dengan prestasi semalaman Wall Street yang lemah.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 5.30 mata kepada 1,603.89 daripada 1,609.19 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks dibuka rendah 0.23 mata kepada 1,608.96.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 231 berbanding 159, manakala 311 kaunter tidak berubah, 1,500 tidak diniagakan dan 86 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 453.71 juta saham bernilai RM154.29 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd berkata aktiviti dagangan di bursa tempatan rendah berikutan sentimen terus berhati-hati.

“Bagi indeks petunjuk pasaran, ia dilihat masih tidak banyak berubah, justeru, kami menjangka ia berada dalam jajaran 1,605-1,615 hari ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan Hong Leong Bank, masing-masing meningkat dua sen kepada RM4.30 dan RM18.82, Petronas Chemicals naik satu sen kepada RM8.11, Maybank tidak berubah pada RM8.40, TNB susut empat sen kepada RM10.36 dan IHH Healthcare merosot lima sen kepada RM5.38.

Bagi kaunter cergas, Sapura Energy naik setengah sen kepada 15.5 sen, Solid Automotive menambah 1.5 sen kepada 24 sen, AirAsia X dan MTouche, masing-masing tidak berubah pada 9.5 sen dan empat sen, manakala AT Systematization dan Berjaya Corp, masing-masing susut setengah sen kepada 10 sen dan 39 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 30 mata kepada 11,792.77, FBM 70 susut 11.06 mata kepada 15,591.31, FBMT 100 berkurangan 30.16 mata kepada 11,464.88, FBM ACE turun 22.75 mata kepada 10,210.14 dan FBM Emas Shariah susut 56.60 mata kepada 13,032.79.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 28.85 mata kepada 15,487.76, Indeks Perladangan susut 6.33 mata kepada 7,128.34 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.08 mata kepada 193.45.

– BERNAMA


Pengarang :