Selangorkini
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah susulan ambilan untung

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis berikutan aktiviti pengambilan untung selepas mencatatkan prestasi kukuh semalam dan dalam keadaan prestasi semalaman Wall Street yang lemah.

Pada 9.06 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 9.02 mata atau 0.57 peratus kepada 1,579.43 daripada 1,588.45 sewaktu ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk utama itu dibuka tinggi 0.44 mata kepada 1,588.89.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 325 berbanding 189, manakala 304 kaunter tidak berubah, 1,335 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 433.95 juta unit bernilai RM240.11 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata pasaran menantikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia yang kedua hari ini untuk mengukur pergerakan pasaran.

Bagaimanapun, menurutnya, ahli ekonomi menjangkakan pendirian yang tidak berubah ke atas kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus di tengah-tengah jangkaan kepada pemulihan ekonomi.

“Kami yakin saham berharga rendah akan kekal meningkat sekiranya sentimen pasaran positif yang berterusan. Sementara itu, harga minyak mentah Brent dilihat mengalami kenaikan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Berikutan kes harian Covid-19 yang kekal berjumlah di bawah 2,000 untuk hari ketiga berturut-turut, syarikat itu percaya peniaga akan menumpukan kepada sektor berkaitan pemulihan seperti penerbangan, produk pengguna dan permainan.

“Selain itu, peniaga mungkin mencari kaunter minyak dan gas dan perladangan susulan kenaikan harga komoditi,” katanya.

Seorang lagi peniaga berkata saham serantau bersedia untuk mengalami turun naik dalam ekuiti dan bon selepas peningkatan bon Perbendaharaan AS serta menjelang sidang parlimen tahunan China pada Jumaat.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura turun 0.8 peratus kepada 2,997.89 dan Indeks Nikkei 225 Jepun susut 1.49 peratus kepada 29,117.6.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank naik dua sen kepada RM4.24, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM7.74 dan RM5.50, manakala Maybank susut empat sen kepada RM8.10, TNB jatuh lapan sen kepada RM10.38, CIMB turun tiga sen kepada RM4.26 dan Top Glove berkurangan 16 sen kepada RM4.93.

Dalam kalangan saham aktif, Nexgram naik setengah sen kepada lima sen, Minetech menambah 1.5 sen kepada 21.5 sen, Dataprep meningkat 13 sen kepada RM1.97, manakala Dagang Nexchange tidak berubah pada 61.5 sen, Sealink susut satu sen kepada 19.5 sen dan MY E.G berkurangan sembilan sen kepada RM2.15.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 58.58 mata kepada 11,612.86, Indeks FBMT 100 turun 57.90 mata kepada 11,307.95, Indeks FBM Emas Syariah rendah 87.15 mata kepada 12,953.1, FBM ACE jatuh 97.47 mata kepada 10,518.32 dan FBM 70 susut 53.52 mata kepada 15,445.83.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 1.03 mata kepada 185.9, Indeks Perladangan jatuh 11.06 mata kepada 7,151.03, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 15.68 mata kepada 15,017.16.

– BERNAMA

 


Pengarang :