AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi, jejaki prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Bursa Malaysia dibuka tinggi tetapi merosot kemudiannya, menjejaki prestasi Wall Street yang berhati-hati menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS yang akan berakhir pada Rabu.

Pada 9.08 pagi, petunjuk pasaran FBM KLCI susut 2.0 mata kepada 1,623.96 daripada 1,623.96 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks dibuka tinggi 1.65 mata kepada 1,625.61.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 290 berbanding 217, manakala 356 kaunter tidak berubah, 1,374 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.46 bilion saham bernilai RM256.47 bilion.

Malacca Securities berkata pasaran saham AS merosot daripada paras tertinggi baru-baru ini berikutan Dow (-0.4 peratus) mengakhiri kenaikan selama tujuh hari berturut-turut susulan data jualan runcit yang rendah (-3.0 peratus bulan ke bulan) dan pengeluaran pembuatan (-4.1 peratus bulan ke bulan) pada Februari 2021.

Nasdaq naik 0.9 peratus, didorong oleh saham teknologi.

Di peringkat tempatan, ia yakin kes harian Covid-19 yang rendah dicatatkan pada Selasa akan terus memacu sentimen pasaran dalam persekitaran positif, bagaimanapun aliran meningkat dijangka dikekang oleh sentimen bercampur-campur Wall Street semalaman.

“Dari segi komoditi, minyak mentah Brent telah menyaksikan kemerosotan berikutan kebimbangan baharu mengenai permintaan disebabkan gelombang baharu kes pandemik di Eropah, manakala minyak sawit mentah merosot berikutan jangkaan pasaran mengenai pengeluaran yang meningkat.

“Walaupun beberapa sektor seperti penerbangan dan permainan menyaksikan sedikit penurunan, kami yakin aktiviti belian saham pada harga rendah akan berlaku tidak lama lagi, berdasarkan kes harian Covid-19 yang susut,” katanya, sambil menambah peniaga dijangka melihat sektor pengguna, pembinaan dan hartanah.

Selain itu, sektor teknologi dijangka mencatatkan peningkatan semula, menjejaki kenaikan semalaman di Nasdaq.

Saham wajaran tinggi, Axiata kekal rendah, susut tujuh sen kepada RM3.78, manakala Public Bank dan Maybank, masing-masing merosot dua sen kepada RM4.29 dan RM8.43.

Sime Darby berkurangan lima sen kepada RM2.43 selepas meningkat pada Selasa.

Dalam pada itu, Press Metal naik enam sen kepada RM10.06 dan Nestle meningkat 90 sen kepada RM136.60.

Dalam kalangan saham cergas, Pegasus tidak berubah pada tiga sen, manakala Borneo Oil, Compugates dan Dynaciate, masing-masing menambah setengah sen kepada empat sen, 3.5 sen dan 15.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 4.53 mata kepada 11,897.14, FBMT 100 susut 8.79 mata kepada 11,575.46 dan FBM Emas Shariah naik 1.70 mata kepada 13,181.67.

FBM 70 meningkat 9.35 mata kepada 15,669.90 dan FBM ACE susut 85.50 mata kepada 10,661.55.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 18.95 mata kepada 15,584.02, Indeks Perladangan naik 14.33 mata kepada 7,244.60 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.48 mata kepada 192.47.

– BERNAMA

 

TAG:


Pengarang :