AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dijangka alami dagangan berhati-hati minggu depan

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Peserta pasaran memantau rapi pemulihan ekonomi global dan perkembangan berkaitan kapal kontena yang didaftarkan di Panama, ‘Ever Given’ minggu depan, sekali gus mewujudkan sentimen berhati-hati terhadap Bursa Malaysia, kata ahli ekonomi.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata pelabur akan menumpukan sama ada masalah Terusan Suez yang tersekat, disebabkan kapal kontena berskala besar ‘Ever Given’ terkandas di situ, dapat diselesaikan pada awal minggu depan atau sebaliknya.

Beliau berkata ini kerana sekiranya gagal, keadaan itu mungkin menyebabkan rantaian bekalan terus mengalami kelewatan.

“Bagaimanapun, situasi itu memberi impak positif kepada harga minyak mentah memandangkan kadar carter ke atas kapal tangki yang mengangkut minyak akan meningkat dan seterusnya dapat mempengaruhi harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagi minggu depan, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran boleh didagangkan dalam julat 1,600 mata hingga 1.615 mata berasaskan kecenderungan meningkat.

Pada Jumaat, harga minyak mentah Brent naik dua peratus kepada US$63.16 setong.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, kekurangan pemangkin pergerakan pasaran di peringkat tempatan telah menyebabkan suasana pasaran suram sepanjang masa.

Di peringkat antarabangsa, hasil ke atas bon AS, sekatan ekonomi oleh negara barat ke atas China susulan isu komuniti Islam Uyghur, pasaran global dan serantau yang tidak menentu serta insiden di Terusan Suez telah mempengaruhi bursa tempatan.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 24.77 mata kepada 1,601.42 daripada 1,626.19 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 144.92 mata kepada 11,778.29, Indeks FBMT 100 turun 157.6 mata kepada 11,443.98 dan Indeks FBM Emas Shariah menguncup 151.73 mata kepada 13,078.16.

FBM 70 merosot 214.76 mata kepada 15,550.46 dan Indeks FBM ACE susut 172.23 mata kepada 10,517.11.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.72 mata kepada 191.41, Indeks Perladangan kurang 75.17 mata kepada 7,100.45, Indeks Teknologi susut 0.81 mata kepada 83.19 dan Indeks Penjagaan Kesihatan menguncup 31.08 mata kepada 3,016.57.

Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 209.36 mata kepada 15,300.29 dan Indeks Tenaga kurang 9.61 mata kepada 950.99.

Jumlah dagangan merosot kepada 27.58 bilion unit bernilai RM14.63 bilion daripada 53.03 bilion unit bernilai RM26.24 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 16.44 bilion saham bernilai RM11.42 bilion daripada 34.85 bilion saham bernilai RM21.24 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran sebanyak 828.19 juta unit bernilai RM176.07 juta berbanding 1.70 bilion unit bernilai RM294.43 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula turun kepada 10.05 bilion saham bernilai RM3.03 bilion daripada 16.48 bilion saham bernilai RM4.70 bilion.

– BERNAMA


Pengarang :