Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika mengadakan sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 6 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 1,680 kes baharu, tujuh kematian

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Kes harian baharu Covid-19 di negara ini mencatatkan penurunan dengan 1,680 kes dilaporkan hari ini serta tujuh lagi kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kumulatif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 311,777 manakala bilangan yang meninggal dunia akibat virus itu adalah 1,166 kes.

“Kes sembuh dicatat hari ini 2,548 orang, lebih tinggi daripada kes baharu yang dilaporkan,” katanya melalui Twitter rasminya.

Beliau berkata jumlah keseluruhan pesakit sembuh adalah sebanyak 289,452 manakala bilangan kes aktif wabak itu ialah 21,159 kes.

Sebanyak 172 kes masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 84 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, Dr Noor Hisham berkata kematian yang dilaporkan hari ini masing-masing tiga kes di Selangor dan Sarawak manakala satu lagi kes di Sabah, membabitkan mangsa berusia 43 hingga 84 tahun.

Beliau berkata daripada 1,680 kes baharu hari ini, tiga kes import dilaporkan dari bukan warganegara manakala bakinya penularan tempatan dengan 1,225 kes membabitkan warganegara dan 452 lagi bukan warganegara.

Selangor terus merekodkan kes harian baharu tertinggi dengan 826 kes, diikuti Sarawak 221 kes dan Johor (139 kes).

Dr Noor Hisham berkata empat lagi kluster baharu dikesan menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif 478 dengan 72 daripadanya mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini.

Tiga kluster baharu dikesan berkaitan tempat kerja di Lagoon Selatan, Selangor; Jalan Firma Dua (Johor) dan Jalan Haji Malek (Melaka) serta satu kluster melibatkan komuniti iaitu Bukit Tunggal di Sarawak.

Katanya, 713 kluster dilaporkan tamat termasuk 14 kluster yang tamat hari ini, antaranya Kluster Industri Kampung Baru, Kluster Jalan Bayu Satu, Kluster Jalan Jelutong, Kluster Bandar Lama, Kluster Desa Tun, Kluster Kampung Tualang, Kluster Bukit Emas dan Kluster Tapak Bina Jalan Digital.

– BERNAMA


Pengarang :