Petugas kesihatan Selcare memasukkan sampel saringan Covid-19 ketika Program Ujian Antigen RTK Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19: Lebih 3,000 pesakit sembuh, jangkitan baharu 2,154

SHAH ALAM, 5 MAC: Seramai 3,275 lagi pesakit sembuh daripada virus Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sembuh sebanyak 286,904.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan baharu positif Covid-19 dalam negara pula kini 310,097 dengan pertambahan 2,154 kes.

“Seramai 2,149 individu dalam negara positif Covid-19, lima kes import, enam kematian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 184 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi ICU dengan 87 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, 10 kluster baharu dikenal pasti hari ini dengan lapan kluster melibatkan tempat kerja dan masing-masing satu kluster keagamaan dan kluster komuniti.

“Kluster baharu tempat kerja ialah Tapak Bina Jalan Zamrud, Jalan Dato Sellathevan, Industri Cheras Jaya dan Meranti Utama di Selangor; Kampung Nyatoh di Selangor dan Negeri Sembilan; Persiaran Alam di Kuala Lumpur; Jalan Mutiara Barat di Kuala Lumpur dan Selangor; dan Perusahaan 10 di Pulau Pinang.

“Kluster baharu komuniti pula dikesan di Kuala Punteh di Sabah, manakala kluster keagamaan di Jalan Senu di Perak,” katanya.

 

 


Pengarang :