Petugas kesihatan menjalankan ujian makmal ke atas sampel calitan orang ramai menggunakan mesin analisis Standard F200 SD Biosensor ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Taman Batu Tiga, Subang Jaya pada 13 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19 rekod 1,671 kes baharu, Selangor tertinggi

SHAH ALAM, 20 MAC: Sebanyak 1,671 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan kes 331,713 kes sejak pandemik menular.

Ketua pengarah kesihatan berkata Selangor mencatat kes tertinggi iaitu 652 kes diikuti Pulau Pinang (328), Sarawak (154), Johor (130), Sabah (102) dan Kuala Lumpur (78).

Menurutnya, Kelantan pula merekod 63 kes, Kedah (46), Perak (37), Terengganu (32), Negeri Sembilan (25), Melaka (18) dan masing-masing tiga di Pahang serta Labuan.

“Tiada kes dilaporkan di Putrajaya dan Perlis,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menambah seramai 1,585 pesakit lagi berjaya sembuh hari ini.

Beliau turut melaporkan empat lagi kes kematian iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu di Sabah dan Kedah, semuanya warganegara.

Sementara itu, empat lagi kluster baharu dikenal pasti membabitkan dua kluster tempat kerja iaitu kluster Teluk Air Tawar di Pulau Pinang dan kluster Perindustrian Pekan Nanas (Johor).

Dua lagi melibatkan komuniti iaitu kluster Tanjung Genting (Sarawak) dan kluster Pulau Pisang (Perak).

 


Pengarang :