Petugas kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian pada program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 21 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: Tiada jangkitan baharu di Sabak Bernam

SHAH ALAM, 29 MAC: Sabak Bernam menjadi daerah tunggal di Selangor yang tidak merekodkan kes baharu Covid-19 hari ini sekali gus kekal dalam zon kuning, maklum Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Mengikut data, Hulu Langat menyumbang angka kes tertinggi dengan 72 kes iaitu 20 kes di mukim Kajang, Cheras (12), Semenyih (enam), Ampang (lima), Hulu Langat (tiga) dan kes penjara (dua).

Dua daerah pula mencatatkan kes bawah 10 iaitu Kuala Selangor (enam) dan Hulu Selangor (tiga).

“Lain-lain daerah meliputi Klang dengan 62 kes, Petaling (30), Kuala Langat (24), Gombak (12) dan Sepang (10),” lapor agensi itu menerusi Facebook.

Secara keseluruhan, Selangor merekodkan 219 kes baharu Covid-19 dan 179 kes sembuh.

Setakat ini, seramai 113,092 pesakit di negeri itu pulih berbanding 115,016 kes yang dilaporkan sejak pandemik menular.


Pengarang :