Foto: Facebook Sani Freshmart
PERSONALITIRENCANA

Daripada perniagaan khemah kepada kedai jual ikan

Oleh Nor Amirah Mahmuddin

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Amalan norma baharu dalam penganjuran majlis akibat wabak Covid-19 membuatkan Sani Shamsuddin yang mengusahakan perniagaan sewa khemah sejak 2013 bertukar arah menjadi peniaga ikan.

Pemilik Sani Canopy Marquee Tent sedar beliau mungkin tidak dapat meneruskan perniagaannya untuk jangka masa yang lama.

Ini memandangkan rata-rata masyarakat di negara ini hanya mengadakan majlis secara kecil-kecilan dan penganjuran sambutan serta perayaan yang lazimnya diadakan setiap tahun juga dibatalkan.

Tidak lagi hanya mahu menunggu rezeki datang bergolek, beliau membuat keputusan untuk meneroka bidang baharu sebagai penjual ikan segar kepada pelanggan di sekitar bandar Shah Alam di Selangor.

Sani yang berusia 35 tahun nekad untuk mencuba bidang perniagaan baharu itu meskipun tidak mempunyai pengetahuan mahupun pengalaman dalam perniagaan ikan.

Tekadnya berjaya membuahkan hasil sehingga mampu membuka ‘pasar mini’ yang dikenali sebagai Sani Freshmart.

Kini, kedainya tidak hanya menjual pelbagai jenis ikan segar seperti ikan merah, cencaru, pelaling, sardin, kerisi, tongkol, siakap, jenahak, bawal, kerapu, pari tuke, tetapi juga makanan laut yang lain serta sayur-sayuran dengan harga yang amat berpatutan.

Tidak kenal jenis ikan

Bermula dengan niat sekadar mahu mengisi lapang, Sani tidak menyangka perniagaan jualan ikannya sejak Oktober 2020 mampu mendatangkan hasil yang lumayan dengan jualan sehingga 500 kilogram ikan sehari.

Bercerita lanjut, Sani berkata, idea menjual ikan itu muncul apabila beliau bertemu rakan yang juga menukar kerjaya daripada pengusaha katering kepada ‘tauke ikan’ sejak tahun 2020.

Disebabkan keputusan untuk berniaga dibuat secara mendadak, beliau terpaksa membawa ayahnya ke jeti sekitar Sekinchan bagi membantu membeli bekalan kerana tidak mengenali jenis-jenis ikan.

“Hari pertama, saya beli ikan dengan harga keseluruhan RM4,000 dan sebenarnya saya sendiri kurang pasti sama ada stok tersebut boleh dijual sehingga habis ataupun tidak,” katanya dalam wawancara di Wisma Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, pada peringkat permulaan, beliau tidak mempunyai tapak ataupun kedai dan hanya menjual di kawasan berdekatan rumah ibu bapanya. Sambutan menggalakkan yang diterima membuatkan beliau lebih bersemangat untuk mempelajari selok-belok perniagaan ikan.

“Sejak hari itu, saya banyak belajar daripada ayah sebab dulu ayah pernah buka restoran jadi dia lebih mahir tentang ikan dan penjual ikan di jeti tentang jenis ikan, teknik penjagaan, cara menyiang serta ikan mana yang lebih digemari oleh orang ramai,” tambahnya lagi.

Beliau juga sempat berniaga di tepi jalan menggunakan lorinya untuk tempoh yang singkat sebelum berpindah ke sebuah kedai yang disewa di Seksyen 7 Shah Alam pada Januari 2021.

Biarpun janggal pada mulanya, Sani akhirnya dapat menyesuaikan diri dengan rutin pekerjaan baharu dan corak perniagaan yang berbeza.

“Tahun lepas (2020) adalah tahun pertama saya dapat beraya bersama-sama keluarga kerana sebelum ini, musim perayaan adalah paling sibuk bagi kerana banyak tempahan untuk majlis sambutan,” katanya.

2020 tahun sukar

Menurut Sani, beliau tidak pernah menyangka akan berdepan dengan situasi seperti tahun 2020 dan sokongan daripada keluarga terutama isteri menjadi penguat dirinya.

Tanpa sokongan mereka, beliau mungkin boleh mengalami kemurungan kerana tahun lalu merupakan tempoh kehidupan yang amat sukar berikutan perniagaannya mengalami kerugian sehingga ratusan ribu setiap sebulan.

Ini memandangkan perniagaan sewa khemah yang sebelum ini beroperasi di seluruh Semenanjung mampu memberikan untung bersih puluhan ribu sebulan, tetapi disebabkan pembatalan majlis, beliau mengalami kerugian kerana terpaksa memulangkan semula bayaran (refund) kepada pelanggan termasuk wang pendahuluan.

Beliau juga tetap membayar gaji pekerja seperti biasa dan memberi sedikit bonus sewaktu musim perayaan menggunakan wang simpanan yang ada kerana mahu mereka terus bermotivasi dan setia bersama perniagaannya.

Percaya bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah, beliau lebih banyak mempelajari agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan serta melakukan refleksi diri ketika menghadapi tempoh sukar tahun lalu.

“Betullah kata pepatah, ‘besar periuk besarlah keraknya’. Jadi, kita sentiasa perlu bersedia secara mental dan juga kewangan kerana perkara yang tidak pernah dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa,” tambahnya.

Beliau turut bersyukur kerana mempunyai wang simpanan hasil sikap cermat dalam berbelanja sepanjang perniagaan sewa khemahnya.

Promosi perniagaan dalam talian

Tidak mahu hanya menjadi ‘tauke ikan’ biasa, beliau turut mempromosikan perniagaan ikan secara dalam talian menggunakan iklan Facebook, Instagram, Whatsapp dan kini beliau telah memperkenalkan aplikasi Sani Freshmart yang boleh dimuat turun di Google Play.

Dengan menggunakan aplikasi tersebut, para pelanggan hanya perlu menempah secara dalam talian dan barangan tersebut akan dihantar ke lokasi yang diinginkan.

“Pada awalnya saya sedikit ragu-ragu mahu mempromosi perniagaan jualan ikan segar atas talian kerana kalau dahulu saya boleh muat naik gambar dan rakaman dron pelbagai jenis khemah di Instagaram tetapi gambar ikan ni bentuknya sama sahaja,” katanya.

“Tetapi apabila saya melanggan iklan di Facebook dan ada pelanggan yang sudah mula bertanya lokasi kedai, saya nekad untuk teruskan kerana modalnya pun tidak banyak serta boleh mencapai lebih ramai pelanggan di luar,” tambah Sani.

Beliau turut mengetepikan rasa malu dengan membuat ‘live’ di Facebook dan Instagram walaupun tidak begitu mahir dan berkeyakinan.

“Ada yang cakap takkanlah jual ikan pun nak ‘live’ di Facebook tetapi bagi saya media sosial mempunyai impak yang sangat kuat sebab kalau ada seorang yang menonton dan berkongsi, lama kelamaan ramai yang akan tahu tentang Sani Freshmart,” katanya lagi.

Mahu teruskan perniagaan

Menurut Sani, walaupun mungkin pada masa akan datang industri acara akan kembali beroperasi seperti biasa, beliau tetap akan meneruskan perniagaan ikan dan bercita-cita untuk membuka cawangan Sani Freshmart.

“Buat masa ini, saya merancang untuk memanjangkan waktu operasi kedai sehingga malam kerana sekarang kami hanya beroperasi dari jam 7.45 pagi hingga dua petang dan merancang akan menambah bekalan ikan serta pekerja,” katanya.

Sani turut menasihatkan supaya mereka yang terlibat dalam industri acara dan pelancongan supaya terus cekal dan keluar daripada zon selesa untuk berikhtiar mencuba sesuatu yang lain dalam mencari pendapatan sampingan.

“Jika kita berasa susah untuk memulakan sesuatu yang baru, maka belajarlah. Jangan malas dan takut kerana yakinlah setiap yang kita usahakan pasti akan mendatangkan hasil,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :