Foto Facebook MYBuahPinggang
RENCANAWAWANCARA

Derma buah pinggang demi melihat orang lain kembali sihat, sanggupkah anda?

Oleh Syamsiah Sahat

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Enam tahun lalu, apabila isterinya disahkan mengalami kegagalan buah pinggang, Gordon Ling Fu Chur, 34, mengambil keputusan nekad untuk mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada ratu hatinya itu.

Walaupun mengetahui risiko buah pinggang yang bakal diberikan belum tentu sesuai dengan keadaan tubuh isterinya, Jaslynn Tay, 36, namun kerana cinta yang mendalam, Gordon bulat hati meneruskan niatnya.

Keputusan yang sukar itu bukan sahaja untuk menyelamatkan Jaslynn tetapi juga zuriat pertama mereka yang sedang dikandung oleh isterinya ketika itu. Isterinya ketika itu dalam trimester pertama kehamilan.

Kini, selepas separuh dekad pembedahan berkenaan dijalankan, Gordon dan Jaslynn hidup bahagia bersama anak mereka, Caitlyn Ling, 5 tahun tanpa mengalami sebarang komplikasi kesihatan. Ternyata Gordon tidak silap dengan keputusannya untuk mendermakan sebelah buah pinggangnya itu.

Bacaan kreatinin pasangan ini berada pada tahap normal dengan bacaan 60 hingga 70umol untuk Jaslynn, manakala Gordon pula pada tahap 104umol.

Kreatinin adalah penunjuk aras fungsi buah pinggang yang dikesan dalam darah dengan umumnya bacaan normal kreatinin buah pinggang sihat di bawah 100µmol.

Bagi Jaslynn, pengorbanan yang dibuat oleh suaminya itu ibarat peluang kedua untuk beliau hidup dan kembali sihat untuk menjalai kehidupan sebagai isteri dan ibu.

“Saya berasa amat beruntung sekali kerana dapat peluang untuk menjalani kehidupan normal dan menikmati kebahagian hidup bersama keluarga tersayang tanpa berasa sakit atau letih setiap hari, ” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sanggupkah derma buah pinggang?

Kisah Gordon dan Jaslynn adalah antara ratusan atau mungkin ribuan kisah bagaimana kasih sayang dan cinta mampu menyelamatkan nyawa orang tersayang.

Persoalannya, jika kita berada dalam situasi Gordon, sanggupkah kita mendermakan buah pinggang atau mana-mana organ kita kepada ahli keluarga yang memerlukan?

Atau sanggupkah kita berikrar sebagai penderma organ kepada orang yang tidak dikenali agar mereka berpeluang menjalani kehidupan dalam keadaan sihat?

Jika ada kesanggupan, pastinya timbul persoalan sejauh mana pula proses pemindahan itu berjaya dan menjamin kehidupan sihat kedua-dua belah pihak antara penderma dan penerima organ.

Namun kisah Gordon dan Jaslynn ini mungkin boleh menjadi inspirasi dan mengubah persepsi masyarakat di luar sana bahawa pendermaan organ bukanlah sesuatu yang menakutkan atau mengundang risiko kesihatan pada masa hadapan.

Mengulas mengenai isu ini, Pakar Perunding Nefrologi dan Pensyarah Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nor Fadhlina Zakaria berkata, sehingga tahun 2018, lebih 22,000 orang pesakit dialisis (pesakit kegagalan buah pinggang yang menjalani dialisis) sedang menunggu derma buah pinggang.

Kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai penderma hidup dalam kalangan ahli keluarga terdekat sebaliknya menerima buah pinggang daripada pesakit yang mengalami kematian otak.

“Pemahaman dan pengetahuan yang rendah mengenai proses transplan adalah faktor utama proses ini tidak mendapat sambutan kerana kebanyakan penderma takut dan ragu akan komplikasi dan keselamatan mereka selepas menderma organ,” kata Dr Nor Fadhlina kepada Bernama.

Manakala pesakit pula berasa malu atau tidak sanggup untuk menyuarakan hasrat meminta ahli keluarga mendermakan organ mereka.

Selain itu, terdapat juga mitos dalam kalangan masyarakat yang menganggap proses pendermaan organ adalah sesuatu perkara yang tidak normal dalam budaya masyarakat sekali gus membantutkan hasrat mereka yang berura-ura untuk menjadi penderma organ.

Faktor yang diutarakan oleh Dr Nor Fadhlina itu menyebabkan tidak banyak pembedahan transplan buah pinggang dapat dilakukan di negara ini.dengan hanya mencatatkan lebih kurang 40 pembedahan setiap tahun.

Hanya 40 pembedahan setahun

Menurut Dr Nor Fadhlina, setiap tahun, hanya kira-kira 40 pembedahan buah pinggang dapat dilakukan di Malaysia.

“Sebanyak 90 peratus daripada jumlah itu adalah pendermaan daripada penderma hidup, manakala selebihnya adalah pendermaan organ melalui penderma yang mati otak.

“Di Malaysia, kebanyakan pendermaan hidup hanya dilakukan dalam kalangan ahli keluarga terdekat manakala pendermaan mati otak biasanya dalam kalangan mereka yang tidak dikenali oleh penerima organ,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pendidikan Awam Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) menjelaskan, bagi kategori pendermaan daripada individu yang masih hidup, Malaysia buat masa ini belum lagi mengambil buah pinggang atau organ daripada penderma rawak atau yang tidak dikenali oleh pesakit .

Ia bertujuan mengelakkan unsur jenayah seperti penjualan organ, penipuan dan sebagainya.

“Proses pendermaan daripada orang yang tidak dikenali yang masih hidup adalah digalakkan tetapi negara memerlukan undang-undang yang terperinci untuk membolehkan proses berkenaan.

“Buat masa ini , kita hanya ada satu jawatankuasa yang dipanggil Unrelated Transplant Approval Committee (UTAC) bagi membincang dan memutuskan kes terpencil yang bukan datang daripada ahli keluarga terdekat seperti ipar duai, ahli keluarga dari luar negara dan kes yang diragui kesahihan proses pendermaan organ itu,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, proses pemindahan hidup hanya boleh dilakukan dalam kalangan penderma yang disahkan sihat sepenuhnya oleh pakar perubatan.

Justeru, penderma harus melalui beberapa siri pemeriksaan kesihatan yang ketat atau ‘renal transplant workout’ bagi memastikan mereka benar-benar layak dan bersedia mendermakan organ tersebut.

“Ujian yang perlu dilakukan oleh penderma dan penerima buah pinggang, antaranya adalah ujian darah, air kencing, pengimejan seperti imbasan paru-paru, buah pinggang, dan sistem lain dalam keadaan baik dan sihat.

“Kedua-dua pihak juga akan menjalani sesi kaunseling bagi memastikan mereka bersedia dari segi mental, emosi dan fizikal,” katanya.

Boleh sihat dengan satu buah pinggang

Memahami kebimbangan ramai, beliau berkata pendermaan organ adalah satu proses yang selamat kepada penderma mahupun penerima.

Menurut Dr Nor Fadhlina, walaupun ada risiko pada kedua-dua pihak namun ia amat kecil kerana proses pembedahan dijalankan oleh pakar bedah yang cekap serta menggunakan teknologi pembedahan moden.

Bagi penderma, risiko masa hadapan buah pinggang mereka menjadi kronik sangat kecil sekiranya sentiasa dipantau oleh pakar buah pinggang bagi memastikan tiada sebarang komplikasi.

Beliau menjelaskan, bagi penerima pula, risiko penolakan organ boleh dikurangkan dengan pengambilan ubat-ubatan anti-penolakan, katanya.

“Untuk tempoh tiga bulan pertama selepas pendermaan buah pinggang, penderma disarankan untuk tidak melakukan aktiviti berat dan sentiasa mengamalkan gaya kehidupan sihat.

“Ini kerana, pada waktu tersebut, badan penderma sedang mengadaptasi dengan kehidupan menggunakan satu buah pinggang,” jelasnya sambil menambah setiap individu berbeza cara dan waktu adaptasi.

Bagaimanapun, selepas tempoh adaptasi itu, kebiasaannya badan penderma sudah boleh bertindak normal dan penderma boleh melakukan aktiviti yang biasa dilakukan seperti aktiviti riadah.

Tempoh adaptasi mengambil masa lebih kurang tiga bulan, bagaimanapun ia bergantung pada keadaan tubuh masing-masing.

Bagi penderma wanita, mereka boleh mengandung seperti biasa tetapi perlulah sentiasa mematuhi rawatan susulan dengan pakar.

Selain itu, pemakanan yang sihat juga sangat penting bagi memastikan kesihatan berada pada tahap baik termasuk mengamalkan diet makanan yang disarankan.

Menurut beliau, tiada juga pantang larang daripada segi pemakanan namun bagi pesakit kencing manis dan darah tinggi disarankan mengawal pemakanan bergula, bergaram dan makanan yang tidak berkhasiat.

Jadilah penderma buah pinggang

Menurut Dr Nor Fadhlina, pendermaan organ dalam Islam adalah diharuskan begitu juga agama-agama lain seperti Buddha dan Kristian yang menganggap niat pemindahan organ adalah sesuatu yang sangat mulia.

Malah ia dilihat sebagai usaha yang sangat murni kerana mampu menyelamatkan nyawa dan memberi kehidupan baharu yang lebih sihat tanpa menjalani proses dialisis kepada penghidap sakit buah pinggang kronik.

“Manusia boleh hidup sihat dan normal dengan satu buah pinggang ketika hidup. Bagaimanapun, sekiranya anda berminat untuk menjadi penderma organ selepas kematian, banyak lagi organ yang boleh didermakan seperi jantung, paru-paru, tulang, kulit dan mata.

Bagi menggalakkan kesedaran awam, NKF sentiasa menjalankan pelbagai kempen untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai kepentingan buah pinggang dan pendermaan organ.

Mereka yang berminat menjadi penderma hidup kepada ahli keluarga, boleh merujuk pakar dan sekiranya berhasrat menjadi penderma selepas kematian, individu perlu mendaftar diri sebagai penderma organ melalui pendaftaran secara manual atau dalam talian.

Borang daftar pengikrar derma organ, boleh didapati di hospital kerajaan dan pendaftaran dalam talian boleh dilakukan dengan menghantar emel kepada [email protected].

“Mana-mana individu yang mahu menjadi penderma perlu memaklumkan hasrat mereka kepada ahli keluarga bagi mengelakkan sebarang masalah, ” nasihat Dr Nor Fadhlina sebelum mengakhiri wawancara.

– BERNAMA


Pengarang :