Foto Facebook RapidKL
AGENDANASIONAL

Dua laluan baharu bas perantara ke LRT Sri Petaling, Bandar Puteri Puchong

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Bermula hari ini, Rapid KL memperkenalkan dua laluan bas perantara baharu ke stesen LRT Sri Petaling dan Bandar Puteri Puchong.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yasin berkata usaha itu merupakan kerjasama antara Rapid Rail dan Rapid Bus yang akan menghubungkan kawasan komuniti di sekitar Sri Petaling dan Bandar Puteri Puchong.

“Kini komuniti di sekitar kawasan Sri Petaling dan Bandar Puteri mempunyai pilihan penjimatan dari segi kos bahan api, tol serta bayaran parkir apabila menggunakan perkhidmatan bas perantara baharu yang melalui kawasan perumahan utama dengan tambang serendah RM1,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laluan baharu bas perantara (T582) ke Stesen LRT Sri Petaling merangkumi kawasan utama Bandar Baru Sri Petaling, Taman Bukit Intan dan Stadium Hoki Bukit Jalil.

Bagi laluan baharu bas perantara (T605) ke Stesen LRT Bandar Puteri Puchong pula, perkhidmatan merangkumi jajaran kawasan Bandar Puteri Puchong, Puchong Hartamas, Kampung Pasir Puchong dan Puteri 11.

Melalui perkhidmatan ini, penduduk mempunyai pilihan tambahan untuk ke atau dari stesen LRT yang terlibat dengan kekerapan bas setiap 20 minit selain menikmati tambang perjalanan sehala yang lebih ekonomi serendah RM1.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Abdul Hadi Amran berharap perkhidmatan laluan baharu bas perantara itu dapat memudahkan perjalanan komuniti setempat, di samping memberikan penjimatan kepada mereka untuk ke rangkaian rel Rapid KL.

– BERNAMA


Pengarang :