Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

e-Sukan secara rasmi tawar pingat pada Sukan Asia 2022

KUALA LUMPUR, 1 MAC: E-sukan akan membuat penampilan sulungnya sebagai sukan yang ditawarkan pingat secara rasmi pada Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China tahun hadapan, demikian menurut Majlis Olimpik Asia (OCA) hari ini.

Perkara itu diumumkan semasa majlis menandatangani perkongsian secara maya yang mana OCA dan Persekutuan Sukan Elektronik Asia (AESF) menjadi rakan kongsi tunggal dalam menganjurkan dan menguruskan program e-sukan pada temasya yang dijadualkan berlangsung pada 10 Sept 2022.

Ini bermakna AESF akan menganjurkan dan menguruskan pertandingan kelayakan serantau dan temasya itu sendiri di Hangzhou 2022, dengan sokongan dan kuasa penuh OCA. Persediaan ini, menurut OCA akan diteruskan pada Sukan Asia di masa hadapan.

Sebanyak enam pingat acara akan dipertandingkan di bawah program e-sukan di Hangzhou 2022 dan AESF akan memilih tajuk permainan dan menyerahkan senarai untuk kelulusan oleh OCA.

Selain itu, OCA dan AESF turut mengumumkan kempen ‘Road to Asian Games’ pada majlis itu antaranya, akan merangkumi aspek pendidikan, projek kelestarian dan legasi, pembangunan akar umbi, laluan kerjaya, sokongan kesihatan dan kesejahteraan serta inisiatif membantu komuniti dikenali sebagai ‘AESF Experience Programme’.

Presiden AESF Kenneth Fok dipetik sebagai berkata Sukan Asia menampilkan platform terbaik untuknya berkongsi nilai Olimpik dengan komuniti e-sukan, dan ia akan berusaha untuk menjadikan komuniti e-sukan berkembang menerusi peluang ini.

“Kami mengalu-alukan kerjasama yang berjaya dengan OCA dan Jawatankuasa Penganjur Tempatan untuk Sukan Asia Hongzhou ke-19 pada 2022,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pengarah OCA Husain Al-Musallam berkata badan pengelola Sukan Asia akan memberikan sokongan penuh untuk menjayakan acara e-sukan pada temasya itu.

Pada Sukan Asia ke-18 di Indonesia pada 2018, e-sukan dipilih sebagai acara demonstrasi yang menampilkan tajuk e-sukan seperti League of Legends, Arena of Valor, Pro Evolution Soccer 2018, StarCraft II, Hearthstone dan Clash Royale.

– BERNAMA

 


Pengarang :