Selangorkini
Program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar diadakan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Empat saringan percuma hujung minggu ini, sasar 4,000 penduduk

SHAH ALAM, 5 MAC: Empat program saringan Covid-19 secara bersasar akan dijalankan serentak di beberapa tempat pada esok dan Ahad.

Pengurus Klinik Selcare berkata ujian secara percuma menyasarkan 1,000 peserta di setiap lokasi dimulakan di Dewan Resak MBSA, Subang Perdana, Shah Alam.

Mohd Noor Md Nasir memaklumkan program sama turut berlangsung di Dewan Serbaguna MPSJ, Seri Kembangan pada Sabtu (6 Mac).

Mohd Noor Md Nasir ditemui pada program Saringan Komuniti Covid-19 bersasar secara percuma di Stadium Mini Sungai Besar, Sabak Bernam pada 25 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Sementara pada Ahad, saringan dijalankan di Dewan Serbaguna Seksyen 2, Kota Damansara dan Dataran Otomobil, Seksyen 15, Shah Alam,” katanya kepada SelangorKini.

Berikutan itu, beliau menggesa orang ramai menggunakan kesempatan tersebut bagi mengesan jangkitan sekali gus mengawal penularan kes Covid-19 di Selangor.

Untuk mendaftar, orang ramai boleh memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menggunakan fungsi saringan atau layari screening.selangkah.my.

Seramai 4,352 individu terlibat dalam program Saringan Komuniti setakat Februari yang turut membabitkan 894 warga emas dari 32 pusat jagaan.


Pengarang :