Pengunjung gerai Seksyen 9, Shah Alam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mengawal penjarakan fizikal sewaktu membuat pembelian ketika tinjauan pada 9 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Rakyat digesa terus patuh SOP PKPB

SHAH ALAM, 4 MAC: Rakyat diminta terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) biarpun Selangor bertukar status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) esok.

EXCO kesihatan awam berkata kelonggaran dalam tempoh PKPB harus dimanfaat sebaiknya supaya penularan wabak Covid-19 dapat diputuskan.

“Kelonggaran untuk bersekolah dan berkerja perlu dimanfaatkan dengan majikan dan guru perlu memastikan pekerja dan pelajar mematuhi SOP.

“Jika ada tempat kerja yang gagal mematuhi SOP dan tidak mengikut garis panduan, pekerja berhak membuat aduan kerana berada di persekitaran yang tidak selamat,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Pada 2 Mac lalu, menteri kanan (kluster keselamatan) mengumumkan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor ditukar kepada PKPB bermula esok hingga 18 Mac.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan juga membenarkan pergerakan rentas daerah dalam kawasan PKPB.


Pengarang :