Rodziah Ismail (tengah) meneliti pelbagai rempah ratus yang dijual sempena e-bazar Program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) di pusat beli-belah Galaxy Ampang, Ampang pada 1 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO sasar ramai peniaga mohon pinjaman asas menjelang Ramadan

SHAH ALAM, 24 MAC: Kerajaan Negeri menjangka bilangan peserta Skim Perniagaan Darul Ehsan (NaDI) yang menawarkan pinjaman asas kepada peniaga bertambah Ramadan ini.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata sasaran itu berikutan sambutan baik membabitkan 316 pendaftaran dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan.

“Jumlah peserta NaDI menunjukkan trend peningkatan dan mungkin bertambah menjelang Ramadan susulan bazar dibenar beroperasi tahun ini. Saya yakin ramai yang memerlukan dana untuk berniaga,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut bercadang melantik pegawai usahawan di peringkat pihak berkuasa tempatan untuk membimbing peniaga terutama berhubung aspek pendigitalan.

Pada 10 Februari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan NaDI bagi membantu individu yang baharu menjalankan perniagaan dengan tawaran pinjaman antara RM1,000 hingga RM5,000.

Turut dilancarkan Go Digital untuk membantu usahawan sedia ada beralih ke arah pendigitalan menerusi pinjaman pembelian alat telekomunikasi.

Borang permohonan NaDI boleh didapati melalui cawangan pejabat Hijrah Selangor atau hubungi talian 03-55191692 atau layari www.hijrahselangor.com .


Pengarang :