EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim bercakap pada sidang media perkembangan terkini status Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 30 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Selangor bukan punca projek ECRL lewat, rugi

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan Negeri menegaskan Selangor bukan punca kelewatan atau kerugian bagi projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata dakwaan pengerusi Rail Link Sdn Bhd (MRL) bahawa negeri ini menjadi punca projek tersebut tertangguh selama 12 bulan adalah tidak benar.

“Ingin saya tegaskan di sini Kerajaan Negeri kekal dengan pendirian memilih jajaran selatan sejak 17 Julai 2019 menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

“Cuma kita tidak boleh terima jajaran utara kerana ia melibatkan kawasan tadahan hujan Gombak yang akan memberi kesan langsung kepada lembangan Sungai Selangor.

“Malahan kos mengubah jajaran utara juga melibatkan pertambahan RM5.4 bilion sedangkan dengan mengekalkan laluan selatan tidak melibatkan tambahan kos,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada sidang media perkembangan terkini status ECRL di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Izham menambah Kerajaan Negeri sentiasa beri kerjasama berhubung projek yang dilaksanakan kerajaan persekutuan demi manfaat rakyat dan negeri.

“Kita harap agar kerajaan persekutuan tidak mempolitikkan isu ini kerana kita buat keputusan bukan ikut emosi tetapi ia berdasarkan hujah dan kajian berasas yang dibentangkan menerusi MTES untuk kekalkan jajaran selatan.

“Saya harap pengerusi MRL dapat maklumat tepat, jika tidak mahu menanggung sebarang kerugian teruskan sahaja dengan keputusan kekalkan penjajaran selatan,” katanya.

Pada 29 Mac, Tan Sri Mohd Zuki Ali mendakwa projek tersebut tertangguh selama 12 bulan akibat kelewatan Kerajaan Selangor membuat keputusan.

Berdasarkan penjajaran asal, ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor dari utara melalui Gombak dan menuju ke Serendah dan Pelabuhan Klang.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN), jajaran tersebut diubah supaya tidak melalui Bentong dan Gombak seperti dirancang pada awalnya bagi mengelak pembinaan terowong sepanjang 17.8 kilometer melalui Permatang Kuarza.

Sebaliknya, laluan tersebut menuju selatan melalui Mentakab ke Kuala Klawang di Negeri Sembilan sebelum memasuki Selangor menerusi Hulu Langat seterusnya ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang (Westport).

ECRL dijangka siap pada 2026 dan perkembangan projek mencapai 20.37 peratus sehingga Januari lalu berbanding jangkaan asal sebanyak 19.39 peratus.


Pengarang :