Pengunjung pasar tani Seksyen 13, Shah Alam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mematuhi jarak fizikal ketika tinjauan pada 31 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Fama buka pasar tani baharu di Taman TTDI Jaya Rabu depan

SHAH ALAM, 11 MAC: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor membuka pasar tani baharu di Taman TTDI Jaya pada 17 Mac ini.

Pengarahnya berkata pasar yang bertempat di Jalan Saujana Indah 1, Seksyen U2 menawarkan komoditi seperti sayur-sayuran, barangan runcit, ikan, ayam, daging dan makanan.

“Lokasi strategik berhampiran Politeknik Shah Alam, Laman Glenmarie dan Seksyen U2 memudahkan orang ramai untuk mendapatkan bekalan keperluan serendah lima hingga 20 peratus daripada harga pasaran.

“Seramai 50 usahawan terbabit dalam operasi pasar tani yang dibuka setiap Rabu dari 4 petang hingga 10 malam,” kata Abdul Rashid Bahri dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan dengan pembukaan lokasi itu menjadikan jumlah keseluruhan pasar tani di negeri ini sebanyak 50 buah.

Tambahnya, pelbagai aktiviti diadakan sempena pembukaan pasar terbabit antaranya promosi produk usahawan industri asas tani, nanas Moris dari Johor dan jualan ‘happy hour’.

“Pengunjung hendaklah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan antaranya pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman, kekalkan penjarakan fizikal, imbas kod QR dan merekod suhu badan,” katanya.


Pengarang :