AGENDAALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Fasa peralihan monsun berterusan hingga pertengahan Mei

PUTRAJAYA, 19 MAC: Fasa peralihan monsun dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei tahun ini dengan kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang boleh berlaku khususnya pada petang dan awal malam, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya perkara itu dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil. 1 Tahun 2021 yang dipengerusikannya di Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sini.

“Cuaca panas dan kering masih boleh berlaku dan akan reda sepenuhnya menjelang April tahun ini. Fenomena ini adalah normal, berlaku sekitar Feb hingga April setiap tahun dan tiada cuaca panas yang luar biasa diramal akan berlaku tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata jumlah hujan bulanan terendah pada Februari tahun ini adalah di Pulau Langkawi dan Alor Setar, Kedah dengan 0.0mm manakala suhu maksimum tertinggi adalah 36.8ْC di Kuala Krai, Kelantan pada 26 Februari lepas.

Sementara itu menurutnya 1,586 kes pembakaran terbuka dilaporkan bagi tempoh 1 Jan hingga 10 Mac tahun ini, dan 29 kes kebakaran berskala besar telah dilaporkan, yang melibatkan hutan simpan kekal, belukar dan hutan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah.

Tuan Ibrahim berkata JAS telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 52 saman, 37 kompaun, 62 notis arahan,168 surat arahan dan 26 penyediaan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah ke atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka.

“Kerajaan akan mengambil tindakan serius bagi membenteras isu kebakaran di tapak pelupusan sampah haram, di samping menambah baik tindakan pencegahan kebakaran hutan serta belukar tanah gambut yang menjejaskan kualiti udara serta menyebabkan jerebu tempatan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa bersedia bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering dengan meningkatkan usaha-usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka dan jerebu tempatan yang menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam.

Jawatankuasa Induk Jerebu Kebangsaan yang ditubuhkan pada 1997 dan bermesyuarat secara dwi tahunan, bertanggungjawab untuk melaporkan status semasa berhubung keadaan jerebu dan cuaca panas kering yang melanda negara.

Jawatankuasa itu dianggotai pelbagai agensi kerajaan yang berkait rapat dengan pengurusan bencana jerebu termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Kesihatan, JAS dan MetMalaysia.

– BERNAMA


Pengarang :