AGENDANASIONAL

Formula PAKATAN tadbir Selangor tak mampu ditandingi parti lawan

PETALING JAYA, 27 MAC: Asas kukuh pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) sejak menerajui Selangor mulai 2008 tidak mampu ditandingi parti lawan kerana ia sudah diterima rakyat.

Pengerusinya, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PAKATAN berjaya meletakkan Selangor sebagai negeri paling maju, moden dan membangun selama tiga penggal memegang tampuk kepimpinan negeri.

“Asas formula itu adalah pentadbiran yang adil, telus, bertanggungjawab, peduli dan prihatin kepada masyarakat. Selangor yang dipegang PAKATAN juga berjaya membuang mitos dicipta pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dahulu bahawa kononnya kita tak boleh tadbir negara.

“Tetapi hakikatnya, PAKATAN berjaya memegang dua negeri paling kaya dan membangun iaitu Selangor dan Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang, Budimu Disanjung di Sunway Hotel Spa malam tadi.

Majlis anjuran Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar itu turut dihadiri Ketua Cabang KEADILAN Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dan Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Rodziah Ismail.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata namun ia bukan perkara mudah buat PAKATAN apabila mengambil alih tampuk kepimpinan negeri pada 2008.

“Kita terpaksa melakukan pelbagai perubahan serta reformasi. Sudah pasti ada yang tak selesa dengan perubahan, namun akhirnya Selangor menjadi contoh,” katanya.


Pengarang :