AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Gangguan berjadual bekalan air, pastikan agihan pada tahap baik

SHAH ALAM, 24 MAC: Demi memastikan agihan bekalan air pada tahap baik, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) merancang menyenggara aset utama di dua lokasi pada minggu depan dan awal April.

Susulan itu, beberapa kawasan di wilayah terbabit akan mengalami gangguan air berjadual dalam tempoh dua hingga tiga hari.

“Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada kuantiti bekalan air, jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

“Air Selangor ingin menasihatkan pengguna yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan berjadual ini,” kata ketua komunikasi korporatnya dalam kenyataan.

Menurut Elina Baseri, penyenggaraan aset utama secara berjadual seperti berikut:

1. 30 kawasan dalam tiga wilayah terjejas akibat penyenggaraan di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam

– Gangguan bekalan air berjadual selama 24 jam mulai jam 9 pagi, 30 Mac
– Kerja pengalihan dan penyambungan paip pada 30 Mac, jam 9 pagi hingga 9 malam
– Membabitkan lima kawasan wilayah Petaling, Klang (14) dan Shah Alam (11)
– Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi, 1 April

2. 58 kawasan di dua wilayah akibat penyenggaraan di Empangan Klang Gates

– Menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Nanas dan Wangsa Maju.
– Gangguan bekalan air berjadual selama 68 jam mulai 9 pagi, 6 April
– Kerja penggantian injap dibuat pada jam 9 pagi hingga 9 malam, 6 April
– Gangguan bekalan air di 12 kawasan wilayah Gombak dan 46 kawasan di Kuala Lumpur
– Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 5 pagi, 9 April

Semua kerja penyenggaraan aset utama terbabit mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Maklumat lanjut boleh didapati melalui semua medium komunikasi Air Selangor di Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.

Sementara itu, Air Selangor merancang melaksanakan penyenggaraan aset di LRA Cheras Batu 11 pada 15 Jun, LRA Sungai Langat (6 Julai) dan LRA Sungai Selangor Fasa 1 (5 Oktober), tertakluk kelulusan SPAN.

Elina menjelaskan kerja tersebut mengambil kira pelbagai faktor seperti:

1. Mengelakkan pelaksanaan kerja penyenggaraan dalam tempoh tujuh hari sebelum dan tujuh hari selepas perayaan utama yang diwartakan kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri
2. Mengelakkan tarikh penting peringkat antarabangsa, nasional atau negeri seperti acara sukan, persidangan atau mesyuarat
3. Mengelakkan tarikh semasa peperiksaan utama sekolah kerajaan

 

 

 

 

 

 

 

 


Pengarang :