Kerajaan Melaka melancarkan kempen ‘Melakan Visit Melaka Packages 2020’ dalam usaha memastikan sektor pelancongan negeri itu tidak terjejas teruk ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 9 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Gelembung pelancongan bersasar mampu bantu industri pulih berperingkat

MELAKA, 10 MAC: Kebenaran aktiviti pelancongan rentas antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini menerusi program Gelembung Pelancongan Bersasar, dijangka mampu memulihkan kembali sektor berkenaan secara berperingkat.

Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Melaka Goh Hock Gin berkata beliau yakin langkah itu mampu mengelak penularan Covid-19 dalam kalangan pelancong.

Beliau berkata keputusan itu sekurang-kurangnya merupakan permulaan baik yang dilaksanakan kerajaan yang disifatkannya bukan sahaja boleh mengawal pergerakan pelancong, malah mampu membantu mengesan pelancong terlibat sekiranya jangkitan Covid-19 dikesan berlaku dalam kalangan mereka.

“Pemain industri dan pelancong perlu akur dengan syarat-syarat yang ditetapkan kerana keputusan yang dibuat perlu mengambil kira tentang penularan Covid-19 kerana kita tidak mahu ada jangkitan baharu melibatkan kluster pelancongan sekali gus menyebabkan pelaksanaan PKP 3.0,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya penduduk dari negeri PKPP yang ingin melancong ke Melaka boleh mendapatkan khidmat ejen pelancongan di bawah Matta yang kesemuanya berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Goh berkata sehingga hari ini, 80 ejen pelancongan berdaftar di bawah Matta Melaka serta MOTAC, dan pelbagai pakej pelancongan menarik ditawarkan kepada pelancong.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancong Melaka, Madelina W.L Kuah berkata syarat yang dikenakan kepada pelancong dari negeri PKPP yang ingin melancong ke negeri PKPP lain dilihat agak membebankan terutama dari segi kos kerana mereka perlu melancong menggunakan khidmat ejen pelancongan.

Beliau berkata selain itu, pergerakan pelancong juga agak terhad berbanding sekiranya mereka dibenarkan melancong dengan menaiki kenderaan sendiri.

“Pelancong yang menggunakan khidmat ejen perlu menaiki bas persiaran atau kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC selain mengikut jadual perjalanan serta tempat pelancongan yang telah ditetapkan,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran aktiviti pelancongan rentas negeri di antara negeri di bawah PKPP ke negeri PKPP yang lain di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar, namun ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah MOTAC.

Setakat ini tujuh negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis berada di bawah PKPP bermula 2 Mac sehingga 15 Mac ini selain Pulau Langkawi diisytihar sebagai zon PKPP mulai hari ini walaupun Kedah masih di bawah PKPB.

– BERNAMA


Pengarang :