Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah, hadapan) bergambar bersama penerima selepas menyerahkan Notis 5A kepada penduduk Kampung Melayu Seri Kundang di Dewan Majlis Perbandaran Selayang, Rawang pada 20 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Giat serah hak milik tanah, tumpu empat daerah tahun ini

RAWANG, 20 MAC: Kerajaan Selangor menumpukan usaha memberi milikan tanah kepada penduduk sekitar Gombak, Sabak Bernam, Hulu Langat dan Kuala Langat pada tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha lebih sedekad lalu bagi membolehkan warga tempatan memiliki tanah dan rumah untuk diwariskan kepada keluarga.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari meminta penduduk bersabar berikutan proses serahan hak milik agak rumit dan memerlukan tempoh yang panjang.

“Sejak 2008 kita berusaha memberikan penduduk tawaran milikan tanah. Walapun ia aset yang bernilai tinggi, namun itu bukan alasan mereka tidak dapat tanah sendiri,” katanya pada Majlis Penyerahan Notis 5A di Kampung Melayu Seri Kundang di sini hari ini.

Seramai 105 penduduk di kawasan berkenaan menerima Notis 5A dengan keluasan antara 196 hingga 849 meter persegi yang diluluskan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.

Tawaran sama pernah dibuat pada 1999 dan 2010 membabitkan lebih 300 penduduk.

Tawaran Notis 5A ialah pemberitahuan bahawa tanah terbabit diluluskan kerajaan untuk menjadi hak milik dengan menjelaskan bayaran premium ditetapkan.

Sehingga Jun tahun lalu, Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan hampir 100,000 isu pemilikan tanah yang tertunggak sejak 2008.


Pengarang :