Petugas kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian pada program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 21 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Guru jalani saringan Covid-19 elak ibu tanggung risiko

KUALA SELANGOR, 21 MAC: Seorang guru menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 hari ini kerana akan pulang ke kampung bertemu ibunya yang sedang sakit.

Ahmad Roshidi Rukman berkata tindakan itu ekoran tidak mahu merisikokan ibunya yang mengidap angin ahmar dan segera ke lokasi program selepas mengetahui melalui hebahan di media sosial.

Ahmad Roshidi Rukman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini adalah langkah untuk memastikan semua pihak termasuk adik beradik yang tinggal bersama emak di Kelantan selamat,” katanya ketika ditemui di Dewan Bestari Jaya hari ini.

Beliau berkata tugasnya sebagai pendidik yang bertemu ramai pelajar juga menjadi faktor untuknya melakukan ujian itu.

Katanya, orang ramai perlu mengambil peluang menyertai saringan komuniti bersasar oleh Kerajaan Negeri dijalankan secara percuma berbanding di klinik swasta dengan kos lebih tinggi.

Zaki Raof. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, seorang ahli kelab kereta Perodua Bezza warna merah (ReBOC), Zaki Raof bercadang mengajak semua ahli di Selangor melakukan ujian tersebut.

Beliau berkata diharap lebih 400 ahli kelab itu mengambil peluang menyertai program saringan itu.

“Saya akan maklumkan kepada mereka untuk turut serta demi melawan Covid-19,” katanya.


Pengarang :