Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program penyerahan sumbangan keperluan asas dan cek cura kepada Masjid Bandar Baru Ampang dan Masjid Jamiul-Huda di Bandar Baru Ampang pada 7 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Had jemaah ke masjid demi keselamatan umat, elak Islam difitnah

AMPANG, 7 MAC: Keputusan mengehadkan bilangan jemaah ke masjid dan surau di Selangor bagi mencegah perebakan Covid-19 seperti berlaku di Masjid Seri Petaling pada Mac tahun lepas.

Dato’ Menteri Besar berkata sehubungan itu umat Islam diminta bersabar kerana tindakan tersebut demi kebaikan bersama serta mengelak fitnah.

“Saya ada menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk berbincang hati ke hati dan tuanku berulang kali menekankan mahu menjaga kemuliaan agama.

“Tuanku selaku ketua agama Islam mahu mengelak fitnah terhadap orang Islam seperti mengatakan golongan tabligh menjadi punca kes Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan kepada Masjid Bandar Baru Ampang dan Masjid Jamiul-Huda, Kampung Melayu Ampang dalam program Jelajah Kita Selangor ke Parlimen Ampang hari ini.

Kluster Perhimpunan Sri Petaling melibatkan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling mula dikesan pada 11 Mac dan diisytihar tamat pada 8 Julai tahun lepas.

Seramai 42,023 individu disaring dalam kluster terbesar Covid-19 di negara ini dengan 3,375 daripadanya positif.


Pengarang :