Kerja-kerja mengawal kebakaran dilakukan anggota bomba di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat pada 2 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Hutan simpan terbakar, pekerja Indonesia ditahan

SHAH ALAM, 5 MAC: Seorang pekerja warga Indonesia ditangkap kerana melakukan pembakaran terbuka di kawasan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan, petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM) memaklumkan pihaknya menahan lelaki itu dan menyerahkan kepada polis Sepang untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, aktiviti pekerja itu dikesan selepas menemui kawasan kebakaran baru di kompartment 38 yang menyebabkan kejadian tersebut seluas 2.43 hektar.

“Selain itu, kita juga mengesan satu lagi lokasi dengan insiden sama di Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara yang meliputi 4.05 hektar,” kata Norazam Khamis ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata secara keseluruhan 60 peratus api berjaya dipadamkan di kedua-dua kawasan itu termasuk di lokasi kebakaran sebelum ini.

“Saya jangkakan seminggu lagi diperlukan untuk memadam sepenuhnya. Diharapkan petani tidak melakukan aktiviti pembakaran untuk pertanian bagi mengelak api kembali merebak,” katanya.


Pengarang :