AGENDANASIONAL

Isu kalimah Allah: Mais fail permohonan sebagai pencelah

SHAH ALAM, 25 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan memfailkan permohonan sebagai pencelah dalam rayuan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah.

Pengerusinya berkata permohonan menerusi Mahkamah Rayuan itu dibuat demi menjaga kesucian kalimah Allah yang berkait rapat dengan akidah umat Islam.

“Mais menyokong penuh tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan persekutuan untuk merayu keputusan tersebut.

“Sebagai menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, majlis memfailkan permohonan untuk menjadi pihak pencelah,” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya agensi berpegang teguh bahawa perkataan Allah merupakan kalimah suci hanya merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa iaitu asas keimanan orang Islam dan tidak boleh diguna atau disamakan dengan tuhan agama lain.

“Mais sebagai pihak berkuasa utama dalam pentadbiran agama Islam selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertanggungjawab memelihara dan menjaga kesucian Islam,” katanya.

Pada Selasa, Sultan Sharafuddin bertitah golongan bukan Islam dilarang sama sekali menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka dan menganggap pihak berkaitan sentiasa akur seperti diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Baginda turut menyokong DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang menggesa kerajaan persekutuan merayu keputusan mahkamah tersebut.

Sultan Selangor juga menitahkan Mais memohon mahkamah untuk bertindak sebagai pencelah dalam rayuan tersebut dan menggesa majlis agama Islam negeri-negeri lain mengambil tindakan sama.

Pada 10 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin memutuskan arahan KDN pada 5 Disember 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah“, “Baitullah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Katanya, arahan itu melampaui tujuan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Susulan itu, Kerajaan Persekutuan pada 15 Mac lalu memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.


Pengarang :