RENCANA

Isu pengguna era digital lebih mencabar

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Krisis pandemik Covid-19 yang menyerang seluruh dunia menjadikan transformasi digital ‘mengambil tempat’ lebih cepat daripada apa yang dijangkakan termasuklah urusniaga secara e-dagang di Malaysia.

Analisis oleh GlobalData, sebuah syarikat konsultan yang berpangkalan di United Kingdom pada September tahun lepas menyatakan pasaran e-dagang Malaysia dianggarkan mencatat pertumbuhan 24.7 peratus pada 2020 dan nilai pasarannya dijangka mencapai RM51.6 bilion menjelang 2024.

Dengan pembelian secara dalam talian menjadi trend baharu, ia pastinya menjadi petanda positif kepada perkembangan ekonomi negara dan membantu memudahkan urusan jual beli meskipun dalam keadaan yang terhad dan tidak boleh bersemuka disebabkan pandemik.

Risiko pengguna siber

Kelaziman baharu ini menjadikan masyarakat semakin sebati dengan perniagaan secara dalam talian yang berfungsi melalui persekitaran digital atau siber.

Namun begitu dari satu sudut, bagaimana pula dengan isu kepenggunaan era digital yang pada masa sama boleh mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko dan cabaran?

Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi yang juga Ketua Advanced Communication Research Unit (ACRU) Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Khairie Ahmad, berdasarkan statistik Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) di bawah CyberSecurity Malaysia, penipuan dalam talian mendominasi laporan yang melibatkan insiden siber.

Sejak dua tahun kebelakangan ini (2020 dan 2019), statistik penipuan dalam talian mewakili lebih daripada 70 peratus laporan insiden siber berbanding tahun-tahun sebelumnya (2018, 2017 dan 2016) dengan purata sekitar 48 peratus.

Tidak setakat itu, berdasarkan angka terkini pada Januari dan Februari 2021, penipuan dalam talian mewakili 65.1 peratus daripada keseluruhan 1916 insiden yang dilaporkan kepada MyCERT.

Mengulas lanjut beliau berkata terdapat dua aspek komunikasi yang dikaitkan dengan isu kepenggunaan apabila melibatkan urus niaga secara dalam talian atau e-dagang .

“Pertama ialah bagaimana sesuatu produk atau perkhidmatan dikomunikasi (dipromosikan). Terdapat kemungkinan maklumat barangan boleh diubah atau pengguna ditipu apabila maklumat atau imej produk dilakukan dengan teknologi aplikasi atau perisian tertentu bagi tujuan mengelirukan. Ini termasuklah aspek teknikal teknologi komputer seperti penyamaran produk dan akaun.

“Kedua ialah isu ketidakcekapan komunikasi dalam kalangan pengguna sendiri. Antara perkara yang boleh dikaitkan ialah kurangnya kemahiran untuk mengenal pasti keabsahan dan kesahihan maklumat e-dagang. Keadaan menjadi lebih buruk apabila pengguna cetek ilmu kepenggunaan.

“Kurangnya pengalaman pembelian secara dalam talian, tidak cekap mencari maklumat atau bertanyakan maklumat kepada penjual serta tidak pandai membuat perbandingan dan menilai komunikasi produk juga boleh mengheret pengguna ditipu. Adakalanya pernyataan berbentuk manipulasi tidak mampu dikesan oleh pengguna,” katanya kepada Bernama.

Terdapat ramai pengguna yang tidak sedar keupayaan komunikasi dalam talian juga mampu menyaring dan mengekstrak maklumat peribadi mereka tanpa disedari.

Maklumat berkenaan seterusnya boleh dijadikan sebagai komoditi dan dijual kepada pihak ketiga mengakibatkan pengguna mungkin diganggu, ‘terpaksa’ menerima maklumat atau promosi barangan lain sama ada secara dalam talian mahupun secara konvensional.

Generasi ‘born digital’

Mohd Khairie menambah, menurut laporan agensi kewangan terkemuka Deloitte pada Oktober 2020, kumpulan pengguna yang berusia di antara 21 hingga 40 tahun merupakan penggerak utama e-dagang di Asia Tenggara termasuklah Malaysia.

“Berdasarkan tinjauan oleh Deloitte ini, maka dapat dirumuskan e-dagang bukan sahaja didominasi oleh generasi ‘born digital’ malahan turut melibatkan ‘immigrant digital’ berikutan arus perkembangan teknologi semasa yang memberi impak kepada seluruh peringkat masyarakat dan usia.

“Ramai yang menganggap hanya golongan ‘born digital’ atau generasi muda yang lahir dan membesar dalam persekitaran kehidupan digital lebih cenderung terhadap e-dagang. Hakikatnya, mereka yang lahir sebelum era Internet juga sangat aktif dalam e-dagang sekaligus menjadikan isu hak kepenggunaan era digital atau siber ini lebih mencabar,” jelasnya.

Berkongsi pandangan mengenai ‘born digital’, Prof Madya Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan, Kampus Rembau, Dr Masitah Ahmad berkata walaupun istilah itu dikaitkan dengan generasi yang sejak lahirnya dilengkapi kemudahan teknologi digital, Internet, telefon pintar, komputer dan sebagainya, realiti masyarakat Malaysia hari ini tanpa mengira peringkat umur majoritinya sedang menuju ke arah itu.

Ia berikutan kesan krisis pandemik Covid-19 yang membataskan banyak aktiviti secara bersemuka dan menjadikan Internet dan ruang digital satu-satunya platform untuk masyarakat terus kekal berhubung, bekerja, menjalankan aktiviti jual beli dan lain-lain.

Tinjauan Pengguna Internet 2020 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati pengguna Internet meningkat sebanyak 1.3 peratus pada 2020 kepada 88.7 peratus berbanding 87.4 peratus pada 2018.

Aktiviti secara dalam talian yang dijalankan termasuklah komunikasi mesej (98.1 %), media sosial (93.3%), menonton video (87.3%), komunikasi suara/video (81.1%) dan untuk mendapatkan maklumat (74.3%).

“Antara isu yang dikaitkan dengan generasi ‘born digital’ ialah lambakan maklumat. Keadaan ini jika diteliti akan membolehkan sesiapa sahaja sebagai contoh menjadi ‘doktor perubatan’ atau ‘pakar kesihatan’ hanya dengan menggunakan maklumat yang diakses dari Internet. Perkara ini jika gagal ditangani boleh mengundang kepada kegiatan tidak bermoral seperti sindiket penipuan jualan produk dan perkhidmatan yang memberi ancaman kepada pengguna di era siber.

“Penipuan yang dijalankan ini juga secara tidak langsung boleh membawa kepada tersebarnya maklumat yang tidak sahih atau berita palsu yang berisiko memberi pelbagai implikasi negatif kepada masyarakat. Lebih malang apabila masyarakat sebagai pengguna gagal menganalisis maklumat dan percaya membuta tuli apa yang disajikan sehingga menjadikan mereka mangsa jenayah siber,” katanya.

Masitah pada masa sama berkata tidak keterlaluan jika dikatakan ‘born digital’ turut dikaitkan dengan isu penggodam mahupun ‘scammer’ lebih-lebih lagi jika ilmu dan ‘kelebihan’ yang ada pada golongan ini tidak digunakan untuk tujuan dan pada jalan yang betul.

“Justeru, di samping kerajaan dan pihak berwajib perlu menyediakan garis panduan dan etika sewajarnya bagi mencegah penyalahgunaan teknologi digital dan Internet, senario kepantasan perkembangan teknologi digital hari ini turut menuntut peranan ibu bapa dan masyarakat untuk mendidik dan memantau terutama generasi muda mengendalikan platform digital,” katanya.

Lindungi hak pengguna era e-dagang

Dalam pada itu, Mohd Khairie berkata Malaysia mempunyai beberapa akta yang mampu mengekang penipuan dalam talian dan menjamin hak pengguna termasuklah dalam era digital namun yang perlu diberi penekanan ialah aspek penguatkuasaan.

Selain Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan Akta Perdagangan Elektronik 2006 (E-dagang) sebagai antara yang mampu melindungi pengguna dari segi jaminan maklumat, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 ( Akta 709) juga berupaya menjamin keselamatan dan kerahsiaan maklumat peribadi pengguna.

“Di samping agensi-agensi terlibat perlu membina keupayaan kepakaran berkaitan aspek jaminan digital, agensi penguatkuasaan pula wajar dilengkapkan dengan pegawai yang pakar dari aspek pendigitalan atau keselamatan siber bagi melindungi hak pengguna. Unit komunikasi siber yang memantau hal ehwal kepenggunaan digital wajar mempunyai strategi untuk menyakinkan pengguna di samping menyediakan persekitaran e-dagang yang selamat dan sejahtera.

“Walaupun era Internet menyediakan wadah mencari dan mengesahkan maklumat, namun pengguna lazimnya mengambil sikap ambil mudah dalam membuat sesuatu pilihan atau keputusan pembelian dalam talian. Jika dahulu pendidikan kepenggunaan disaran untuk dipupuk kepada pelajar sekolah namun dengan senario hari ini pendidikan kepenggunaan wajar dilaksanakan di semua peringkat.

“Teknologi komunikasi bersifat dinamik serta pantas berinovasi. Pendidikan kepenggunaan berteraskan digital seperti pembangunan aplikasi berbentuk kesedaran dan pendidikan berpotensi meningkatkan kecelikan kepenggunaan digital dan ia wajar dilakukan kerajaan, organisasi kepenggunaan dan seluruh masyarakat,” katanya sambil menambah aplikasi bersifat penilaian kendiri celik kepenggunaan digital mampu menyediakan ekosistem yang lebih kondusif.

Jenayah siber pintar

Sementara itu, menyifatkan tahap kemajuan jenayah siber kini memasuki fasa ‘jenayah siber pintar’ di mana sindiket menggunakan data pengguna untuk memanipulasi mangsa, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata ramai mangsa jenayah siber khususnya dalam platform e-dagang mudah dimanipulasi bukan kerana mereka tidak mempunyai kesedaran sebaliknya penjenayah sudah berevolusi ke satu tahap berbeza.

Data Hootsuite pada Januari tahun ini menunjukkan pengguna siber di Malaysia adalah antara pengguna tertinggi platform e-dagang di dunia dengan kedudukan keempat dari sudut kadar penembusan dan ketujuh dari aspek penggunaan perbankan digital.

“Justeru, pengguna perlu sentiasa peka dengan sebarang urusan dalam e-dagang antaranya dengan memberi perhatian terhadap ketulenan profil sesebuah iklan, maklumat perniagaan yang berdaftar, akaun bank penerima yang wajib selari dengan nama profil iklan e-dagang, menyemak maklumat akaun atau nombor telefon di aplikasi Semak Mule PDRM serta merujuk kepada orang sekeliling sebelum membuat pembelian secara dalam talian.

“Mereka yang menjadi mangsa jenayah siber perlu segera membuat laporan polis dan menyertakan maklumat perbankan, nombor telefon dan lain-lain, menukar kata laluan akaun perbankan digital dan email, melaporkan kepada pihak jabatan perlindungan data peribadi atau MCMC sekiranya maklumat peribadi disalah guna oleh pihak ketiga.

“Tindakan membuat makluman rasmi di media sosial peribadi juga dapat membantu sebagai memberi peringatan kepada rakan-rakan lain agar tidak menjadi mangsa jenayah siber seterusnya,” katanya sambil menambah kadar kebergantungan pengguna di Malaysia yang tinggi terhadap e-dagang terutama sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menuntut pengguna menjadi lebih peka dengan sebarang tawaran barangan yang tidak masuk akal serta hebahan kesedaran jenayah siber.

– BERNAMA


Pengarang :