Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyampaikan ucapan ketika merasmikan pelancaran buku Arif Belanja di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Jais teliti SOP ketat terawih, umum dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 18 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mengumumkan tatacara operasi piawai (SOP) solat terawih negeri ini dalam masa terdekat.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata ketika ini agensi berkenaan sedang meneliti perkara tersebut yang bakal dilaksanakan secara ketat dan sesuai memandangkan solat itu diadakan setiap malam sepanjang Ramadan.

“Berbanding solat Jumaat, ia hanya seminggu sekali. Jadi akan ada ubah suai (SOP) kerana libatkan ramai jemaah,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Arif Belanja 2021 di bangunan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran solat terawih berjemaah di masjid pada Ramadan ini tertakluk SOP ketat.

Sementara itu, beliau berkata kebenaran aktiviti mengimarah masjid ketika Ramadan secara bersemuka akan diputuskan berdasarkan keadaan semasa.

“Setakat ini ceramah masih belum dibenarkan, hanya kuliah secara dalam talian boleh dilakukan. Jadi kita akan lihat perkembangan semasa sebelum buat keputusan,” katanya.


Pengarang :