BUDAYARENCANA

Jam menanggalkan jarumnya lalu menghitung…

Oleh Lokman Hakim

Ilustrasi Matarojit

KUOTA internet untuk bulan ini sudah habis. Tiada Google Meet dapat dilangsungkan. Kerja tergendala.

Pagi ini, jam dinding dan jam tanganku menanggalkan jarumnya lalu berlari keluar dari bingkainya. Aku tidak sempat mengejarnya. Aku buntu melihat kejadian seumpama itu berlaku pantas.

Di bilik sebelah, Mama dan Adif sekadar merenung laptop lusuh yang sudah padam. Kenapa, Mama? Laptop rosak. Usianya sudah lapan tahun. Hantar ke kedai pun tak guna – ia sudah ditinggalkan waktu. Setiap perisian di pasaran sudah tidak sepadan dengan kemampuannya, jawab Mama, dengan muka bermekapkan kepenatan.

Aku bagitahu Mama, jam-jam di dalam rumah ini sudah tertanggal jarumnya. Mama dan Adif terpegun mendengar berita itu. Aku tunjuk setiap bingkai jam yang kosong. Tiada jarum, tiada angka, dan tiada papan. Aku kata, mungkin kiamat sudah hampir. Mama tak setuju. Kiamat itu hanya Allah SWT yang tahu. Kita jangan memandai-mandai atau bergurau mengenainya, tazkirah ringkas Mama menyusul. Lebih-lebih lagi, kejadian jam menanggalkan jarumnya itu bukan tanda-tanda kiamat. Usah mengarut.

Adif pula anak pintar yang sudah faham erti tahun yang menghilang. Pendidikan sudah dicutikan, ujarku. Menteri Pendidikan sudah ditipu jam demi jam yang kononnya menyimpan nilai ilmu. Diseragamkan tika kuota internet ibarat muka laut yang kadang bergelora, kadang tenang. 

Boleh kita jalan-jalan? Tanya Adif. Mestilah tidak boleh. Wabak sedang mengganas. Prosedur operasi standard juga boleh tahan bergelora perubahannya. Seganas mutasi wabak. Kataku, boleh sahaja nak jalan-jalan cuma harus bersyarat. Jalan-jalan di halaman rumah. Oh ya, kalau hendak jalan-jalan ke taman, haruslah pakai baju sukan lengkap dengan kasutnya. Barulah boleh jalan-jalan tanpa pakai pelitup muka. Lagipun memakai pelitup muka ketika bersukan itu lebih memudaratkan. Peluh yang membasahi pelitup muka boleh meningkatkan kadar jangkitan.

Penjarakan sosial dan bla, bla, bla… Adif jemu mendengarnya lalu berlari ke ruang tamu menghadap televisyen. Netflix juga sudah kaput, pastilah sebab kuota internet yang bermasalah. Mujur ada Astro. Ah, cuaca cerah di luar, tanpa sebarang tanda hujan. Mama kata, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Aku setuju. Aku harus setuju walau apa sekalipun Mama kata. Andai nadanya tidak serius, barulah memilih untuk tidak bersetuju.

Hari ini kita berhenti dengan pendigitalan, fikirku. Bercuti. Cuti tanpa menge-melkan notis. Cuti kecemasan. Jam sudah melarikan diri. Kami harus mendapatkannya kembali kerana sistem sedia ada masih bergantung pada jam. Sistem pengupahan pekerja. 8 hingga 5 atau potong gaji. Kecekapan melaksanakan tugasan tiada dalam sistem berasaskan jam, kau tahu?

Adif sahut dari ruang tamu, Just let it be lah, Papa! Biarlah jam tu nak pergi mana pun! Lalu aku membentak dalam hati, eh, anak aku sudah biadap, mana dia belajar kebiadapan begini? Aku teringat setahun dua ini pendidikan Adif berada dalam huru-hara. Mana dia mahu belajar? Aku sendiri sibuk dengan kerja. PKP, PKPB, PKPD dan segala bentuk P boleh muncul tetapi kerjaku tetap di situ – konvensional (tiada huruf ‘P’ dalam ‘konvensional’ – ingat itu). Harus ke pejabat walau esok kiamat sekalipun. 

Ah, jika lihat jadual yang ditentukan Kementerian Pendidikan, fokus utama adalah jumlah jam untuk setiap subjek harus cukup. Aku jatuh simpati pada Adif, guru-gurunya, Mama dan juga pada diriku sendiri.

Jadi itulah hikmah jam melarikan diri. Ia mahu kita belajar meninggalkan sistem sedia ada. Covid-19 itu sudah menjadi seorang guru yang tidak peduli pelajar ikut pengajarannya atau tidak. Kalau bebal mengenal Covid-19, hadaplah sistem lapuk yang membunuh teruk macam wabak. Covid-19 akan terus membaham mana-mana orang yang tak mampu beradaptasi dengan perubahan. 

Aku kata – jam harus dicari. Kawasan tempat kita menginap tak dapat dengar azan. Mana boleh tahu masuk waktu Maghrib bila, waktu Isyak bila kalau tak ada jam. Lalu Mama tuding pada pergelangan tangan aku. Ah, gelang kuarantin. Aku lupa. Kami sekeluarga harus berkurung untuk sekurang-kurangnya seminggu lagi. Tenang, tiada gejala setakat ini. Kalau sekadar keluar di kawasan taman ini, pakai jaket atau baju lengan panjang, pasti orang tak ambil peduli sangat.

Adif: Come on Papa, don’t be a dick. Tangan rasa ringan. Cili dalam peti sejuk bagai memanggil-manggil. Calit ke mulut Adif, bisik cili dalam imaginasiku.

Di mana silapnya? Aku tak rasa aku mencarut depan anak. Mamanya aku tak tahulah. Kadang-kadang speaking juga bila membebel. Salah Youtube agaknya. Tidak-tidak. Jam menanggalkan jarumnya lalu menghitung kamu. Setelah Adif belajar mencarut dari Youtube atau TikTok. Setelah aku tak tahu nak tuntut hak selaku pekerja yang waktu bersama keluarganya sudah dirampas tugasan kerja hakiki atas nama Bekerja Dari Rumah. Setelah Mama terpaksa menjadi cikgu mengajar Adif menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan guru melalui deretan whatsapp dan e-mel.

Bertempik-tempik. Pastilah jam menanggalkan jarumnya lalu menghitung kamu, kita dan semua yang bergantung pada sifat kuantitatif pada waktu. Aku bertempik pada Adif supaya dia tidak biadap. Adif juga bertempik tatkala ibu memaksanya menyiapkan kerja sekolah. 

Langit gelap. Bintang-gemintang tidak kelihatan. Kegelapan merayap dari luar lalu meresap ke dalam.


Pengarang :