Maritim Malaysia mengesan aktiviti kapal kargo mencurigakan dan menyalurkan maklumat kepada Maritim Selangor serta Maritim Perak untuk tindakan. Foto: Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
AGENDANASIONAL

JAS arah tahan kapal asing buang minyak di perairan Selangor

SHAH ALAM, 8 MAC: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan perintah penahanan terhadap sebuah kapal asing, semalam yang disyaki melepaskan minyak berhampiran Pulau Jarak, Selangor.

Ketua Pengarah Norlin Jaafar berkata penahanan dibuat di bawah Seksyen 48, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan siasatan di bawah Seksyen 27 akta yang sama.

“Pasukan penyiasat JAS Selangor telah mengambil rakaman percakapan dan memeriksa dokumen kapal bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Persampelan juga dilakukan ke atas beberapa bahagian kapal dan tiga sampel diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, sebuah kapal kargo ditahan oleh Maritim Malaysia selepas disyaki membuang sisa minyak di perairan Selangor kira-kira 21.7 batu nautika timur laut Pulau Jarak pada jam 12 tengah hari.


Pengarang :