Pandangan dari udara kawasan kebakaran tanah gambut Hutan Simpan Kuala Langat Selatan di Tanjung Sepat, pada 4 Mac 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

JAS giat kesan suspek kebakaran hutan simpan Kuala Langat

SHAH ALAM, 9 MAC: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dengan kerjasama polis giat mengesan pihak disyaki mempunyai kaitan kes kebakaran Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan.

Pengarahnya berkata semua suspek melibatkan pemilik dan penyewa tanah, pekerja syarikat serta warga asing yang diupah melakukan pembakaran.

“Siasatan JAS mendapati syarikat ini menyewa tanah seluas 15.78 hektar untuk pertanian, kita yakin suspek ditangkap dalam tempoh terdekat.

“Selain itu tiga sampel bahan bukti di lokasi kebakaran dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan selanjutnya,” kata Nor Aziah Jaafar kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 29A(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya hari ini.

Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan yang dikesan pada 28 Februari merebak sehingga lebih 40 hektar berikutan cuaca panas, kering dan berangin.

Pada Sabtu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata seorang lelaki warga Indonesia direman empat hari kerana melakukan pembakaran terbuka dii Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan.

 


Pengarang :