Dato’ Seri Amirudin Shari mengedarkan pelitup muka dan meluangkan masa menyantuni orang ramai di Pasar Kampung Baharu Kuala Ampang sempena program Jelajah Kita Selangor pada 7 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah Kita Selangor bakal diteruskan di Kuala Langat, Kapar

AMPANG, 8 MAC: Dato’ Menteri Besar mahu meneruskan Jelajah Kita Selangor ke Parlimen Kuala Langat dan Kapar dalam masa terdekat bagi menyelami isu di kawasan itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut akan diputuskan minggu hadapan bergantung pada keutamaan dan kekosongan jadual.

“Kita sedang nilai semula mungkin ke Kuala Langat atau Kapar tetapi saya akan cuba setiap minggu sekurang-kurangnya sehari untuk turun padang di seluruh parlimen untuk bertemu penduduk.

“Kita mahu lihat isu-isu kritikal dibangkitkan penduduk di kawasan terbabit dan mencari tindakan segera,” katanya selepas mengadakan jelajah hari kedua di Parlimen Ampang di sini semalam.

Pada Sabtu, Amirudin memulakan jelajah siri pertama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya diikuti DUN Bukit Antarabangsa semalam.

Acara tradisi itu dilaksanakan dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi mengelak penularan Covid-19.


Pengarang :