Antara persembahan Program Rentak Selangor di Warisan Hall Studio Sijangkang, Kuala Langat pada 28 Februari 2021. Foto Facebook Rentak Selangor
AGENDANASIONAL

Jelajah Rentak Selangor promosi seni budaya, rancak pelancongan

SHAH ALAM, 4 MAC: Kerajaan Negeri akan mengadakan siri jelajah program Rentak Selangor yang menampilkan kepelbagaian persembahan seni dan budaya masyarakat.

Selain memperkenal tradisi turun temurun, EXCO kebudayaan dan warisan berkata program berkenaan bakal merancakkan semula sektor pelancongan pascaperintah kawalan.

Borhan Aman Shah menjelaskan siri jelajah itu turut menampilkan kampung atau daerah yang memiliki tapak seni dan budaya untuk tatapan generasi muda.

“Sebagai contoh, terdapat kumpulan kuda kepang di Sabak Bernam, jadi kita mahu pelancong ke sana menikmati makanan atau pemandangan sambil melihat persembahan seni,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata Selangor kaya dengan pelbagai etnik dan budaya berikutan ramai penggiat seni menjadikan negeri ini sebagai pusat kegiatan sejak dahulu.

Rentak Selangor diperkenal sejak 2016 bagi menyemarak seni, budaya dan warisan dengan menyediakan landasan persembahan.

Ia turut menyediakan ruang kepada tokoh warisan budaya dan penggiat seni budaya dari pelbagai komuniti di Selangor untuk berkongsi ilmu.

Program itu julung kali dianjurkan secara maya pada 1 Mac yang menampilkan 10 jenis persembahan antaranya tarian pooja, muzik gambus dan cempuleng serta tarian kuda.


Pengarang :