Seorang peserta melintasi poster Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja diteruskan selepas Syawal

SHAH ALAM, 17 MAC: Program Jelajah Selangor Bekerja yang masuk tahun kedua penganjuran dijadual bermula selepas sambutan Aidilfitri.

EXCO generasi muda berkata pihaknya memfokuskan penganjuran di peringkat daerah namun tertakluk situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta kebenaran bagi tujuan berkaitan.

“Sekiranya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan larangan rentas daerah, kita akan tumpukan di Shah Alam sahaja.

“Program ini dinantikan kerana menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang serta tahap kelulusan akademik,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini hari ini.

Jelajah Selangor Bekerja anjuran Kerajaan Negeri pada tahun lalu menerima lebih 10,000 permohonan sejak pendaftaran dibuka pada September tahun sama.

Sebanyak 105 majikan menyertai program di Kuala Selangor, Gombak, Sungai Buloh, Hulu Langat dan Shah Alam.

Antara pekerjaan ditawarkan ialah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, penyelia pembaca meter, operator panggilan, pembantu jualan dan pemandu traktor terminal.

Pada 13 Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 15,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan pada 2021 menerusi pelbagai usaha menangani pengangguran.


Pengarang :