Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melihat tanaman milik Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seroja Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Sepang yang musnah akibat ribut pada 8 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

JMB disaran ambil insurans tampung kos luar jangka

SEPANG, 9 MAC: Badan pengurusan bersama (JMB/MC) disaran mengambil insurans kediaman bagi melindungi tempat tinggal dari insiden luar jangka termasuk bencana alam.

Dato’ Menteri Besar berkata perlindungan bagi menanggung kerosakan harta benda selain caj penyelenggaraan perlu dititkberatkan pentabir bangunan dan penduduk.

“(Skim insurans) memang perkara yang bagus tetapi perlu ikut kemampuan JMB sama ada boleh dapatkan dana dari persatuan penduduk atau sebaliknya, ia bergantung,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau yang ditemui selepas meninjau kawasan bencana sekitar Bandar Baru Salak Tinggi semalam turut memuji Pangsapuri Dahlia Court yang tidak berdepan masalah untuk membaiki kerosakan akibat ribut.

Menurut Amirudin, pihaknya juga bersedia menghulurkan dana bagi membantu pangsapuri terbabit jika tuntutan insurans lewat diterima.

Kejadian ribut pada 6 Mac merosakkan 105 buah rumah meliputi Taman Dahlia (19), Taman Seroja (17), Pangsapuri Taman Dahlia (12) dan Pangsapuri Seroja Hill (tujuh).

Selain itu, Kampung Baru Pekan Salak (20) dan Kampung Salak Tengah (tujuh). Turut terjejas Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja, SK Salak dan SK KLIA.


Pengarang :