AGENDANASIONAL

JPJ: Hobi ubai suai kenderaan undang padah jalan raya

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Hanya kerana hobi dan minat, segelintir pemilik kenderaan sanggup tidak mengendahkan undang-undang dan melakukan pengubahsuaian kenderaan secara haram sehingga mengundang bahaya dan kemalangan jalan raya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata setiap peraturan jalan raya ditetapkan bukan semata-mata untuk mengutip kompaun, malah demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

“Sebagai contoh penggunaan lampu High Intensity Discharged (HID) yang dipasang dengan kuasa melebihi standard ditetapkan, boleh mengganggu penglihatan pengguna jalan raya lain dan menyebabkan kemalangan,” katanya pada selepas mengetuai operasi bersepadu di Jalan Cheras berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, di sini malam tadi.

Operasi selama empat jam berakhir 12 tengah malam itu melibatkan seramai 133 pegawai dan anggota daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Mohd Zaki berkata tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah langkah terakhir dalam memastikan semua pengguna jalan raya berada dalam keadaan selamat dengan mematuhi peraturan ditetapkan.

Dalam operasi itu, sebanyak 1,750 kenderaan diperiksa dengan 197 dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, sebanyak 365 notis dikeluarkan dengan kesalahan tertinggi iaitu 170 notis kerana tiada lesen memandu, menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ (76 notis) dan tiada lesen kenderaan motor (67 notis) dan 52 lain-lain kesalahan.

Sementara itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur memeriksa 245 kenderaan dengan 47 notis dikeluarkan, manakala JAS memeriksa 53 kenderaan dengan 11 daripadanya dikenakan tindakan.

Seramai 28 individu juga diarah menjalani ujian saringan air kencing dengan 10 daripadanya didapati positif dadah jenis methaphetamine dan ganja.

Dua lelaki warga Myanmar ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

– BERNAMA


Pengarang :