AGENDANASIONAL

JPJ Selangor rekod 4,291 kesalahan larangan guna kenderaan

SHAH ALAM, 12 MAC: Sebanyak 4,291 notis larangan penggunaan kenderaan iaitu kesalahan tertinggi direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.

Pengarah Nazli Md Taib berkata kesalahan itu dikeluarkan terhadap kenderaan barangan yang mempunyai masalah teknikal, lapor Utusan Malaysia.

“Antara masalah teknikal adalah tayar botak, lampu belakang tidak menyala dan brek tidak berfungsi. Mereka ini diarahkan membetulkan masalah teknikal dan datang ke JPJ untuk menjalani pemeriksaan,” katanya.

Beliau menjelaskan kesalahan itu merupakan antara 14,142 notis yang dikeluarkan JPJ sejak Januari lalu hingga semalam.

Tambahnya, kesalahan kedua tertinggi membabitkan notis arahan periksa kenderaan iaitu sebanyak 4,049.

“Selain itu, sebanyak 2,334 notis saman telah dikeluarkan, diikuti notis panggilan temu siasat (1,593), notis kemukakan butir-butir pemandu (1,067), notis arah timbang (793) dan notis penahanan kenderaan (15),” katanya.


Pengarang :