Datuk Bandar MBSJ, Noraini Roslan (dua, kanan) menyerahkan cek cura kepada wakil majlis perwakilan penduduk ketika majlis penyerahan di MBSJ pada Rabu lalu. Foto MBSJ
PBTSELANGOR

Kabin kitar semula penduduk kumpul 28,950kg sampah

SUBANG JAYA, 26 MAC: Sebanyak 28,950 kilogram (kg) sampah kitar semula berjaya dikumpul lima Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MBSJ berkata kutipan itu dilakukan sepanjang tahun lalu membabitkan MPP Zon 4, 7, 13, 16 dan 19.

“Kabin kitar semula yang diletakkan di Pangsapuri Jati 2, Taman Subang Permai, Subang Jaya menerima kutipan tertinggi iaitu 9,285 kg diikuti Pangsapuri Putra, Seri Kembangan dengan 8,275kg.

“Antara yang dikumpulkan ialah kertas, kotak, plastik, tin besi dan tin aluminum,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan.

Menurut beliau lagi, usaha lima MPP untuk mengurangkan sisa sampah ke tapak pelupusan itu membolehkan komuniti berkenaan menerima wang tunai RM500.

Katanya, penyampaian sumbangan itu dilakukan Tetra Pak dan KPT Recycle selaku pihak yang menyediakan kabin kitar semula.

“Pemberian ini bagi menggalakkan MPP untuk membuat hebahan kepada penduduk berkaitan inisiatif kabin kitar semula yang disediakan di kawasan mereka.

“Majlis juga yakin kerjasama sebegini dapat mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar,” katanya.


Pengarang :