AGENSISELANGOR

Kalimah Allah: Mais bimbang agama lain disebar kepada umat Islam

SHAH ALAM, 26 MAC: Kebenaran untuk agama Kristian menggunakan kalimah Allah dibimbangi membuka ruang pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan agama lain kepada umat Islam khususnya di negeri ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata  pihaknya menyokong tindakan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac lalu.

“Mengikut Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan lslam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang lslam, 1988), mana-mana orang bukan lslam menggunakan kalimah Allah untuk menyatakan idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai sesuatu agama bukan lslam dalam Selangor adalah satu kesalahan.

“Fatwa diwartakan negeri ini pada 18 Februari 2010 juga memperuntukkan kalimah Allah tidak boleh diguna atau disamakan dengan agama lain dan wajib bagi orang lslam untuk menyekat penggunaan kalimah itu jika terdapat unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadapnya,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Pada 10 Mac Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin memutuskan arahan KDN pada 5 Disember 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan selain ia melampaui tujuan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Susulan itu, kerajaan persekutuan dan KDN pada 15 Mac lalu memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Selasa lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin bertitah golongan bukan Islam dilarang sama sekali menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka dan menganggap pihak berkaitan sentiasa akur seperti diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.


Pengarang :