AGENDANASIONAL

Kastam patah cubaan seludup dadah lebih RM5 bilion di Pelabuhan Klang

NILAI, 23 MAC: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup tiga kontena mengandungi pil Captagon bernilai RM5.2 bilion dalam operasi di Pelabuhan Klang, Selangor pada 15 Mac lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata rampasan itu yang merupakan rampasan dadah terbesar dalam sejarah JKDM, dilakukan sepasukan anggota daripada Cawangan Narkotik Kastam yang menemukan 94.8 juta biji pil dengan berat keseluruhan dianggar 16 tan di dalam lereng-lereng roda.

“Saya difahamkan setiap satu castor (lereng-lereng roda) mengandungi sebanyak 1,000 pil. Sebiji pil itu bernilai lebih kurang RM54, maknanya satu castor bernilai RM54,000,” katanya pada sidang media hari ini.

Untuk rekod, sepanjang tahun lepas, JKDM merampas 2.86 tan dadah bernilai RM117 juta, manakala pada 2019 pula agensi itu menyita 4.75 tan (RM790 juta), sementara pada 2018 ia merampas 3.35 tan dadah bernilai RM160 juta.

Mengulas lanjut, Abdul Latif berkata siasatan awal mendapati kontena terbabit tiba dari negara Timur Tengah dan dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara di Asia Timur.

Menurutnya, JKDM sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang di sebalik penghantaran dadah berkenaan yang dipercayai membabitkan sindiket antarabangsa.

Siasatan juga dijalankan sekiranya sindiket turut melibatkan rakyat tempatan, katanya.

Abdul Latif berkata rampasan tersebut adalah hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

Beliau berkata kes disiasat menurut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-BERNAMA


Pengarang :