Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berucap ketika majlis perasmian Pusat Kitar Semula KDEBWM di Bukit Puchong, Puchong pada 29 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KDEBWM sasar kutipan sisa kitar semula 100 tan sebulan di Subang Jaya

PUCHONG, 30 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyasarkan pungutan sisa kitar semula di Subang Jaya mencecah 100 tan sebulan.

Pengarah urusannya berkata pihaknya yakin angka tersebut mampu dicapai memandangkan penduduk di kawasan itu mempunyai kesedaran tinggi berhubung kempen berkenaan.

“Dalam tempoh lima bulan sejak November tahun lalu, sebanyak 360 tan sisa kitar semula dikutip menggunakan antara 13 hingga 18 lori sehari.

“Saya yakin jumlah itu mampu ditingkatkan jika bilangan lori ditambah kira-kira 30 hingga 40 unit sehari. Setakat ini kutipan dilakukan setiap hari di kawasan komersial dan industri sementara perumahan tiga hari seminggu,” kata Ramli Mohd Tahir.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Perasmian Pusat Kitar Semula KDEBWM di Bandar Bukit Puchong disempurnakan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

Turut hadir, Datuk Bandar Subang Jaya, Noraini Roslan dan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Pada majlis sama, Ramli berkata beliau bersedia bekerjasama dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor untuk membuka pusat kitar semula berskala besar.

“Apabila pusat ini dibina ia akan dapat mengurangkan jumlah longgokan sampah haram sekali gus mewujudkan persekitaran yang bagus dan selesa,” katanya.


Pengarang :