Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Peluncuran Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011 di Institut Darul Ehsan, Shah Alam pada 29 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN sedia perluas kerjasama dalam PRU15

SHAH ALAM, 14 MAC: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan parti lain termasuk Umno pada pilihan raya umum ke-15.

Menjelaskan perkara itu belum diputuskan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata matlamat utama adalah menyelamatkan negara dan membentuk dasar ekonomi yang mengutamakan rakyat.

“Kita memberikan ruang dan lihat beberapa kenyataan pemimpin Umno agak lebih tegas dalam hal menyelamatkan ekonomi negara dan menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak sah.

“Pada masa sama, dasar ekonomi yang seharusnya prorakyat itu harus diketengahkan, itu semua nampak selari (antara dua parti ini),” kata presiden KEADILAN dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia.

Anwar yang juga ketua pembangkang turut mengambil sikap terbuka jika parti Pejuang yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menjalin kerjasama politik.

Beliau juga yakin dua parti sekutu iaitu Amanah dan DAP bersetuju dengan perkara itu demi membentuk gabungan lebih kuat selagi tidak meminggirkan prinsip dan idealisme.

“(Kerjasama) ini sudahpun berlaku di Johor, menteri besarnya Umno manakala timbalan speaker DAP. Jadi saya fikir masa depan Malaysia harus tunjuk keberanian pimpinan politik untuk letakkan naratif baharu.

“Bukan sahaja membentuk pakatan politik untuk berkuasa, tapi lebih kuat untuk menyelamatkan negara daripada kebobrokan yang ada sekarang,” kata Anwar lagi.


Pengarang :