Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN Selangor pilih calon kualiti tandingi kerusi Ampang, Gombak

KUALA LANGAT, 21 MAC: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor akan menampilkan calon berkualiti di Parlimen Ampang dan Gombak pada pilihan raya umum ke-15.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan pemilihan calon akan dibuat secara adil dan tidak semestinya golongan muda.

“Sudah pasti kedua-dua kerusi itu termasuk Dewan Undangan Negeri akan ada perubahan. Kita ingin bawa muka baharu yang lebih bersemangat.

“Terbukti KEADILAN telah sekian lama kenalkan calon muda tetapi kita mahu gabungan yang sama adil, terletak pada strategi parti,” katanya ditemui pada program Jelajah Kita Selangor di sini.

Amirudin menjelaskan calon bukan keutamaan parti ketika ini tetapi tumpuan terarah kepada kekuatan jentera di setiap kawasan dan pengundi.

Beliau berkata siri jelajah bertemu akar umbi akan dilaksana untuk menyelesaikan perihal gerak kerja dan merampas semula mandat yang dikhianati.

“Calon memang ada dampak satu atau dua kali tetapi jentera yang menggerakkan itu menjadi keutamaan. Pengundi perlu ada rujukan penting sebelum pilihan raya dibuat,” katanya lagi.

 


Pengarang :