Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Kejohanan sukan dengan penonton dibenar berkuat kuasa 1 April

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan seperti Liga Malaysia berkuat kuasa 1 April.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan setelah mendengar pembentangan dan cadangan tatacara operasi piawai (SOP) daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berserta pandangan dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM).

“Antara syarat yang ditetapkan ialah 10 peratus kapasiti atau 2,000 penonton di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala bagi kawasan PKP Pemulihan (PKPP) pula adalah 25 peratus kapasiti atau 8,000 penonton dengan kedua-duanya melibatkan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

“Bagaimanapun, semua penganjuran kejohanan dengan kehadiran penonton adalah tertakluk kepada kebenaran oleh KBS,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata sebagai permulaan, dua perlawanan bola sepak dalam Liga Malaysia akan dijadikan percubaan bagi menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton.

Selain itu, Ismail Sabri berkata KBS, MKN dan KKM akan turut memantau dan membuat penilaian pematuhan protokol yang ditetapkan khususnya dalam aspek pergerakan, kemasukan dan penyuraian penonton semasa perlawanan itu nanti.

Beliau berkata antara SOP yang perlu dipatuhi adalah tiket hanya dijual secara dalam talian, penjarakan fizikal minimum 1.5 hingga dua meter antara penonton, operasi jualan hanya dibenarkan di kedai sedia ada di kawasan stadium atau venue sahaja, selain pergerakan masuk dan keluar penonton secara berjadual dan tersusun.

Berkenaan pengoperasian Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri, Ismail Sabri berkata negeri atau daerah sepatutnya mengikuti sebarang arahan yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau berkata mungkin terdapat kes-kes tertentu yang memerlukan majlis daerah (pihak berkuasa tempatan) membuat sedikit pindaan terhadap SOP yang diumumkan kerajaan, sesuai dengan keadaan di lokasi masing-masing.

“Kalau di Sabah, Sarawak, masa misalnya. Kalau Bazar Ramadan kita (Kuala Lumpur) mulakan dari 3 petang, mereka mungkin mula 2 petang kerana waktu berbuka di Sabah saya percaya lebih awal iaitu 6.30 petang, kita 7.30 malam,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat berhubung arahan supaya sekolah tidak melaporkan kes positif Covid-19 kepada KKM ataupun MKN.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya perkara itu wujud, ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mana-mana pihak yang cuba menyembunyikan kes positif Covid-19 dalam kalangan mereka.

“Setiap individu, majikan mahupun pihak pengurusan sekolah wajib melaporkan kepada KKM jika timbul kes positif dalam kalangan pekerja atau pelajar mereka. Perkara ini juga tertakluk kepada universiti,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada aktiviti rentas negeri dibenarkan pada Ramadan dan perayaan Aidilfitri, beliau berkata setakat ini pihaknya tidak mempunyai ketetapan berhubung perkara terbabit kerana penilaian dibuat atas nasihat KKM.

“KKM yang memberi nasihat kepada jawatankuasa teknikal atau dalam sidang khas MKN sama ada untuk membenarkan atau tidak. Saya difahamkan, kalau Mei nanti kita semua patuh SOP sehingga kes turun menjadi 500 sehari mungkin penilaian baharu akan dibuat,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :