ADNBERITA UTAMASELANGOR

Kempen daftar vaksin Covid-19 DUN Pandamaran bermula Rabu depan

SHAH ALAM, 20 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran akan melaksanakan kempen pendaftaran vaksin Covid-19 secara berperingkat di beberapa lokasi mulai 24 Mac ini.

Wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee berkata kempen digerakkan pusat khidmat masyarakat bagi membantu individu khususnya yang tiada kemudahan telefon pintar mendaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kempen ini dimulakan di pasar malam Taman Chi Liung pada hari berkenaan diikuti pasar pagi Chi Liung (Jumaat), Flat Taman Chi Liung (Sabtu) dan pekan Pandamaran (Ahad).

“Kita akan mendapatkan nombor kad pengenalan, alamat berserta nombor telefon individu terbabit bagi proses pendaftaran melalui pautan https://www.vaksincovid.gov.my/daftar/,” katanya menambah kempen akan terus dipergiat jika sambutan kurang memberangsangkan.

Beliau turut menggalakkan masyarakat segera mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin selain yakin terhadap keberkesanan dan keperluan imunisasi bagi melindungi diri daripada ancaman wabak.

Menurutnya, individu yang mempunyai latar belakang penyakit pula disaran mendapatkan pandangan doktor atau pakar bagi mengetahui risiko melalui proses vaksinasi.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemimpin akar umbi digerakkan dalam menyebarkan maklumat program tersebut bagi memastikan tiada individu tercicir menerima suntikan vaksin.

Sehingga tengah malam tadi, seramai 5.95 juta individu sudah mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menerusi aplikasi MySejahtera.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi Twitternya menunjukkan jumlah itu mencatatkan perkembangan nasional sebanyak 24.6 peratus.

Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi bagi penerimaan vaksin iaitu 1.72 juta individu.

 


Pengarang :