Khairy Jamaluddin Abu Bakar bercakap ketika sidang media berkaitan mesyuarat badan bertindak program imunisasi Covid-19 peringkat Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan tambah kategori dalam fasa kedua suntikan vaksin

SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan akan menambah kategori lain untuk penerima vaksin Covid-19 fasa kedua memandangkan kadar pendaftaran yang rendah.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata bagaimanapun warga emas, individu berisiko tinggi, orang kelainan upaya (OKU) dan pesakit kronik disenaraikan dalam fasa tersebut sebelum ini masih menjadi keutamaan.

“Kategori petugas barisan hadapan ekonomi dan kumpulan lain yang telah dipersetujui akan dimasukkan dalam senarai penerima fasa kedua memandangkan pendaftaran golongan sasar masih tidak sepenuhnya.

“Isnin nanti saya akan umum beberapa kumpulan yang dipersetujui di peringkat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin sebagai penerima tambahan dalam fasa ini,” kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang media bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di Dewan Annex di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menyasarkan suntikan terhadap kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan antara hujung Februari hingga April depan.

Fasa kedua imunisasi menggunakan Pfizer-BioNTech dan Sinovac dijadualkan bermula April hingga Ogos dengan melibatkan kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa ketiga pada Mei hingga Februari tahun depan untuk 13.7 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing.


Pengarang :