Selangorkini
RENCANA WAWANCARA

Kerap terdedah cuaca panas melampau boleh kena strok haba

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Bahang cuaca panas yang dirasai pada ketika ini adalah fenomena biasa yang berlaku setiap tahun, namun itu tidak bermakna orang ramai boleh mengambil ringan risikonya terutama dalam aspek kesihatan.

Ini memandangkan, pelbagai masalah kesihatan boleh berlaku kepada mana-mana individu yang terdedah dengan kepanasan melampau secara berterusan dalam jangka masa lama sepanjang tempoh ini sama ada implikasi kesihatan tahap sederhana mahupun pada tahap serius yang boleh mengundang maut seperti strok haba.

Mengulas mengenainya, Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan seseorang individu itu kerap berpeluh dan kesannya akan menyebabkan cecair dalam tubuh badan berkurangan.

Sekiranya keadaan ini berterusan dan tiada langkah pencegahan atau diatasi, ia berisiko menyebabkan individu terbabit mudah berasa letih, kurang bertenaga, lemah otot-otot atau kekejangan serta dalam situasi lebih teruk berisiko menyebabkan dehidrasi, kerosakan organ badan seperti buah pinggang, otak, jantung dan hati mahupun mengalami strok haba.

Berdasarkan laman sesawang http://www.myhealth.gov.my/strok-haba-heat-stroke/, strok haba berlaku apabila suhu badan meningkat dengan cepat (iaitu pada 41 darjah Celsius atau lebih) akibat terdedah kepada cuaca panas yang berterusan semasa menjalankan aktiviti fizikal.

Keadaan ini yang disebabkan kekurangan air dan garam galian dalam badan dalam jumlah yang banyak, boleh dikenal pasti menerusi beberapa gejala seperti denyutan jantung menjadi cepat, pernafasan cepat dan pendek mahupun tekanan darah menurun.

“Berpeluh adalah antara cara badan cuba menyejukkan tubuh ketika panas. Panas berpanjangan akan menyebabkkan ‘tekanan’ untuk badan, berpeluh dan ini menyebabkan kehilangan mineral seperti sodium dan potassium.

“Sedangkan air dan mineral adalah sangat perlu untuk fisiologi badan. Contohnya, untuk mengalirkan darah, mengepam darah ke dan dari jantung dan mengalirkan ke buah pinggang. Air diperlukan apabila darah disaring melalui buah pinggang untuk fungsi fisiologi badan yang normal.

Air di Denmark boleh diminum terus dari paip. Foto BERNAMA

“Kekurangan mineral boleh menyebabkan gangguan sel saraf dan jantung, maka pernafasan dan denyutan jantung boleh terjejas dan terhenti,” katanya kepada Bernama menerusi e-mel baru-baru ini.

Golongan berisiko

Sejak kebelakangan ini, isu cuaca panas yang dialami ketika ini hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat. Malah, ada antaranya menyatakan keterikan cahaya matahari ini begitu terasa sehinggakan penghawa dingin yang dipasang di rumah bersama kipas pun, masih belum mampu menyejukkan suhu badan.

Bahang cuaca agak panas yang dialami ketika ini adalah disebabkan negara pada masa ini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac (2021).

Kebiasaannya, dalam tempoh ini taburan hujan memang agak berkurangan di Semenanjung Malaysia terutamanya di utara Semenanjung, pedalaman Pahang dan Kelantan sekali gus menyebabkan cuaca menjadi agak panas.

Merujuk data status gelombang haba pada laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sebanyak sembilan kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan gelombang haba tahap kuning atau berjaga-jaga setakat pukul 5.00 petang, Sabtu (6 Mac 2021), yang merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Kawasan terbabit melibatkan Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Sepang, Tampin, Alor Gajah, Melaka Tengah, Jasin, Tangkak dan Batu Pahat. Bagi seluruh kawasan Sabah dan Sarawak pula berada dalam pemantauan MetMalaysia dengan merekodkan suhu maksimum harian kurang 35 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Mengulas lebih lanjut mengenai masalah atau kesan kesihatan akibat panas melampau ini, Dr Sharifa Ezat berkata ia boleh menyerang sesiapa sahaja namun ada beberapa golongan tertentu yang lebih berisiko seperti gelandangan, warga emas, wanita mengandung.

Selain kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah, mereka yang menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis serta masalah jantung dan orang dewasa yang berumur 40 tahun ke atas adalah 10 kali ganda lebih berisiko berbanding dengan orang yang lebih muda.

“Merujuk laman sesawang WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dari 1998 sehingga 2017, lebih 166,000 manusia meninggal dunia akibat gelombang panas termasuk lebih 70,000 meninggal semasa gelombang panas di Eropah.

“Ini bermakna masyarakat tidak boleh ambil ringan mengenai risiko cuaca panas. Malah, ada kajian menunjukkan pesakit buah pinggang kronik (CKD) juga meningkat kematiannya dalam keadaan gelombang haba berlaku,” katanya.

Ubat

Malah, beliau berkata laporan dari Centers for Disease Control and Prevention (CDC) turut menyatakan beberapa jenis ubat boleh meningkatkan risiko kesihatan hipertermia atau strok haba dan kematian berkait haba, antaranya ubat anti psikotik, ubat tidur, antihistamin, ubat mencegah kemurungan dan ubat merawat parkinson.

Manakala ubat darah tinggi dan jantung seperti diuretic juga boleh menyebabkan urinasi lebih kerap, kehilangan garam dalam badan serta dehidrasi mudah berlaku semasa gelombang panas.

Selain rawatan yang menyebabkan buang air besar menjadi kerap (laksatif) juga mempunyai kesan sama serta beberapa ubat yang digunakan untuk merawat jantung (seperti dari jenis anticholinergics dan beta-blockers) dan ubat anti alergi boleh mengurangkan berpeluh serta sukar melepaskan panas dalam badan.

“Strok haba yang mengakibatkan kematian jarang berlaku di Malaysia. Tetapi, dalam keadaan cuaca panas sememangnya kena berhati-hati terutamanya golongan berisiko seperti mereka yang terdedah kepada cahaya matahari pada jangka masa lama mahupun pesakit yang mengambil ubat tertentu yang berisiko kepada dehidrasi sehingga berisiko kepada strok haba.

“Golongan pesakit ini perlulah berjumpa doktor yang merawatnya untuk memberitahu supaya menukar dos atau menukar ubat supaya mereka tidak mengalami dehidrasi kesan daripada ubat tersebut sekali gus berisiko kepada strok haba,” katanya.

Biarpun keadaan strok haba sehingga mengakibatkan kematian jarang berlaku di Malaysia, beliau berkata risikonya tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh berlaku pada sesiapa sahaja sepanjang tempoh cuaca panas yang agak melampau ini.

Justeru, masyarakat disarankan sentiasa mengambil langkah pencegahan dengan banyak meminum air dan bukannya hanya ketika dahaga, pakai pakaian ringan, berwarna terang dan longgar, pakai topi atau payung besar serta mengurangkan aktiviti luar rumah.

Selain elak minuman yang mengandungi kafein, alkohol, atau kandungan gula yang tinggi mahupun membiarkan seseorang berada di dalam kereta yang tertutup tanpa adanya pengudaraan baik atau penghawa dingin.

“Jika ada sesiapa melihat seseorang itu mempunyai tanda atau gejala masalah berkaitan suhu panas, mereka bolehlah membawa mangsa ke tempat yang selamat dan sejuk sebelum dia dibawa ke klinik atau hospital.

“Baringkan mangsa dan angkat kakinya supaya lebih tinggi dari dada (paras jantung) serta longgarkan baju mangsa supaya ada peredaran udara, letakkan tuala sejuk/ais di leher, ketiak, paha untuk darah segera sejuk. Jika mangsa pengsan, elakkan mangsa dari minum apa-apa dan baringkannya ke sisi,” katanya.

Luar biasa?

Bagaimanapun, timbul persoalan adakah bahang cuaca panas yang dihadapi pada masa ini yang berisiko kepada pelbagai masalah kesihatan adalah luar biasa berbanding tahun sebelumnya?

Mengulas mengenainya, Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon menerusi e-mel berkata MetMalaysia tidak menjangkakan cuaca panas yang melanda negara dalam tempoh ini adalah panas luar biasa kerana ia adalah keadaan yang biasa berlaku bagi tempoh Februari hingga pertengahan April setiap tahun.

“Suhu maksimum tertinggi 1 Feb hingga 2 Mac 2021 setakat ini ialah 37 darjah Celsius iaitu pada 2 Mac 2021 di Stesen Meteorologi LT Alor Setar, Kedah. Namun, suhu tersebut masih lagi rendah dibandingkan dengan suhu maksimum tertinggi Mac pernah direkodkan di Alor Setar iaitu 39.1 darjah Celsius pada tahun 1998 dan 2016,” katanya.

Menurutnya, situasi panas ini tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi juga negara lain seperti Thailand, Indonesia dan Indochina turut merekodkan titik panas yang tinggi.

“Hujan dan ribut petir di satu dua tempat boleh berlaku pada sebelah petang terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Manakala tiada hujan dijangkakan di negeri-negeri lain,” katanya.

Sementara itu, Pakar Klimatologi, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM, Prof Dr. Fredolin Tangang pula berkata antara faktor lain yang menyumbang peningkatan suhu ketika ini adalah negara sedang menuju kepada fenomena Ekuinoks yang biasanya berlaku pada 20 Mac setiap tahun di mana matahari berada pada kedudukan di atas Khatulistiwa sekali gus meningkatkan pancaran matahari dan suhu.

Kerja-kerja mengawal kebakaran dilakukan anggota bomba di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat pada 2 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Faktor (seterusnya), rantau Malaysia dan Indonesia pada ketika ini mengalami fasa perolakan terhalang Ayunan Madden-Julian, iaitu satu fenomena iklim berskala besar yang muncul di Luatan Hindi dan bergerak ke Lautan Pasifik merentasi kawasan Indonesia dan Malaysia. Ayunan ini boleh membawa keadaan lebihan curahan hujan (perolakan meningkat) atau pengurangan atau ketiadaan hujan (perolakan terhalang).

“Menurut ramalan Pusat Ramalan Iklim, Agensi Pentadbiran Kebangsaan Lautan dan Atmosfera (NOAA), Amerika Syarikat, pada 1 Mac 2021, pusat perolakan terhalang wujud di Lautan Hindi dan ini sedang bergerak ke kawasan Malaysia dan Indonesia dan dijangka meningkatkan keadaan kekeringan dan cuaca panas sekurang-kurangnya dua minggu akan datang,” katanya.

Pembakaran terbuka/Jerebu

Justeru, beliau menasihatkan semua pihak mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air semasa cuaca panas, peka dengan perubahan cuaca serta mengelakkan pembakaran terbuka.

Pembakaran terbuka semasa cuaca panas menjadi antara polemik yang dibangkitkan baru-baru ini memandangkan ia antara punca berlakunya jerebu di beberapa kawasan.

Malah, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik berkata punca kualiti udara tidak sihat di beberapa kawasan dalam negara disebabkan oleh peningkatan kes pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering sejak pertengahan Februari lepas (2021).

Mengulas mengenainya, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, UKM, Dr Shahrul Mohd Nadzir melahirkan kebimbangan corak pemikiran masyarakat terhadap cuaca panas yang sering kali tidak diambil serius termasuklah dalam isu pembakaran terbuka.

“Sekarang, orang yang berpangkat, berpendidikan tinggi atau sederhana juga melakukan perkara sama. Mungkin dahulu, orang lama menggunakan pendekatan pembakaran sampah atau sebagainya sebagai salah satu cara mudah melupus sampah.

“Tetapi menyedihkan, zaman era revolusi 4.0 perkara ini masih lagi berlaku. Ini (menunjukkan) corak pemikiran yang tidak menganggap serius ancaman alam sekitar yang pernah berlaku di negara kita. Isu pencemaran udara yang pernah melanda negara seperti Pasir Gudang dan jerebu sepatutnya diambil ikhtibar dengan mendalam kerana ia telah memberi impak teruk kepada kita,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :