Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Kertas-kertas dinding

Oleh Ruhaini Matdarin

Ilustrasi Matarojit

Wang kertas seratus ringgit sebanyak lapan keping ditepek ke dahinya serupa hantu Cina. Rezeki dari pintu belakang itu menguatkan lagi azamnya untuk mempersenda lebih ramai ‘pesakit’ masa depan dengan memanfaatkan kebimbangan mereka. Dia tersandar – sambil merenung wang di tangan – ke dinding yang ditampal dengan kertas-kertas dinding lukisan matahari menyinar ke lembah hijau, ia akan memberi harapan kepada bakal pelanggannya tentang tiada penyakit yang tidak boleh disembuhkan selain mati.

Beberapa waktu lalu di depan pesakit (yang lebih percaya bomoh daripada Tuhan) dia menghujahkan tentang; hidup kita seperti buku nota, dua muka surat pertama sudah ditulis dan ditentukan Tuhan – pertama, ketika kita dilahirkan dan kedua, apabila kita mati, kepada sepasang suami isteri yang datang hendak membuang saka (si isteri percaya suaminya main kayu tiga disebabkan terkena buatan perempuan miang) dan sepenuhnya percaya saka tersebut telah ditarik keluar dari tubuh si suami menerusi empat biji telur ayam.

Senyuman tertahan pada bibirnya meledak menjadi tawa keras sehingga menyebabkan wang kertas di dahinya jatuh ke ribaan, ruang tamu yang sunyi gempar. Dia ketawa terkekel-kekel mengenang air wajah pelanggannya (si isteri) ketika menyaksikan dia memecahkan telur ayam berisi empat helai rambut, dua batang jarum serta darah yang jatuh ke mangkuk (hadiah dari pembelian ubat gigi) diiringi bacaan mantera yang dipelajarinya menerusi filem seram Thailand. 

“Apa maksud semua ini, pak dukun?” Air wajah si isteri teruja, ada harapan menggunung pada matanya yang berkaca-kaca. “Ini semua dihantar oleh betina tak berguna itu?”

“Benar puan, ini semua sihir yang dihantar kepada suami puan,” jawabnya, yakin. “Suami puan harus berpantang, jangan makan makanan bersantan, jangan makan telur, jangan minum kafein dan perlu tidur sebelum pukul sepuluh malam.”

Si suami merenung mangkuk dengan tatapan kosong. Barangkali was-was atau berasa takut. Tahukah kamu tiada penawar bagi sifat miang dalam diri manusia? Dia mengangguk kepada si isteri yang serta-merta menangis dan memeluk lenggan suaminya. Mengucapkan syukur berkali-kali serupa orang menang loteri. Si isteri juga meminta ‘saka’ pada mangkuk tersebut untuk dibawa pulang. Dia sebaliknya mengesyorkan ‘saka’ itu dibuang dari atas jambatan Sungai Petagas. 

Dua jam sebelum pelanggannya bertandang, dia merangkak ke dalam reban kepunyaan tetangga, melarikan (bukan curi) empat biji telur ayam kampung dengan niat dia akan menggantikan dengan telur baharu yang dibeli di pasar raya kelak. Dia membuat lubang paling halus; memasukkan jarum, rambutnya sendiri serta menyuntik air sirap menggunakan penyuntik kepunyaan adik perempuannya yang pernah digunakan untuk beri ubat cacing kepada anak kucing. 

Beberapa hari lalu dia membaca berita seorang penyanyi lelaki mendakwa disantau dan mendapatkan rawatan bomoh; lalu menemui paku yang keluar dari dalam tubuhnya. Ilham pun datang dari langit membangunkan daya juang dalam dirinya yang sudah lapan bulan hilang pekerjaan akibat pandemik. Dia hanya memerlukan kain pelikat, jambang palsu, kopiah lusuh serta kemenyan. Selebihnya keberanian sendiri dan kelemahan orang lain. Dia pun membuat senarai upah membuang saka berdasarkan kenderaan pelanggan: sedan RM400. MPV RM1,200-RM1,800. Kereta mewah RM3,000 ke atas. Dia juga berfikiran hendak membuat caj tambahan terhadap pelanggannya dari dalam kalangan orang kenamaan. 

Tumpuannya dihala ke kertas dinding yang telah menjadi saksi perjuangannya meneruskan hidup, meskipun harus memanfaatkan kekhuatiran orang lain terhadap sesuatu yang tidak mereka fahami. Dan dia teringat sahabatnya (tetangga selang dua buah rumah) yang telah mencarikannya pelanggan pertama, lalu dihubungi untuk diberi sedikit komisen. Sahabatnya itu memberitahu ada pelanggan baharu – seorang ahli perniagaan, kaya luar biasa tetapi tidak pernah berasa cukup dengan apa-apa yang ada di tangannya yang hendak datang petang esok, ahli perniagaan itu syak dirinya disihir sehingga tidak boleh berasa gembira dengan kehidupan. 

Dia menggunting hujung telekung kepunyaan ibunya lalu membalut empat batang ranting yang dicelup dengan sirap, diikat dengan tali karung guni dan dibakar di hujungnya sebelum dihempas-hempas ke tanah. Sahabatnya nanti akan menyembunyikan ‘saka’ tersebut dalam kenderaan pelanggannya dan dia akan memberitahu akan penemuan tersebut setelah memecahkan telur berisi enam helai rambut dan dua belas batang jarum – bagi menghadirkan kesan seram luar biasa – kepada si pelanggan yang sudah tentu akan sanggup membayar upah pada harga paling tinggi. 

Ibunya berleter kerana telekungnya cacat tetapi wanita itu senyap setelah diberi wang tiga ratus ringgit. Dia juga meminta ibu dan adik perempuannya tidak berada di rumah ketika pelanggannya bertandang. Mereka akur. Keesokan hari, pelanggan yang dinanti-nanti tiba dengan Land Rover Defender. Pemandunya menunggu dalam kenderaan. Sahabatnya bertindak mencari peluang, mendekati tempat duduk pemandu, mengajak berbual-bual dan meminta hendak melihat-lihat dalaman kenderaan mewah itu. Ketika kesempatan tiba buatnya, ‘saka’ yang disembunyikan dalam poket seluar diletak di bawah tempat duduk belakang. 

Lelaki berusia awal 50-an yang segak – tiada tanda-tanda menderita penyakit gaya moden – duduk bersila dan membaca ruang tamu yang berbau kemenyan. Jam tangan Brequet, kemeja Polo, Jeans Levis, stoking Dr. Martens dan telefon Iphone 12 dalam saku kemejanya, memudahkan dia mencongak berapa banyak dia patut memeras wang lelaki itu. Sekiranya dia boleh meraih belasan ribu ringgit, dia akan berhenti menjadi bomoh bidan terjun dan menggunakan wang tersebut untuk berniaga.

“Ramai orang dengki dengan tuan,” dia bersuara membunuh sunyi antara mereka seraya mendekatkan mangkuk berisi dua belas biji telur ke kakinya. “Saya boleh melihatnya menerusi mata tuan.”

 “Saya mahu telur-telur ini digantikan dengan telur lain. Saya membawa telur sendiri,” katanya seraya berdiri, berjalan ke jendela dan memanggil pemandunya yang bersandar pada badan kenderaan. “Bawakan telur yang kita beli tadi.”

Dia mahu berlari keluar mencari sahabatnya kerana berasa rahsianya sudah diketahui pelanggan. Dan, ketika lelaki itu menggolekkan sebiji telur ke tangannya, lalu memecahkan ke lantai; dua batang paku, pisau Gillette serta dua helai rambut melimpah ke kakinya. Lelaki itu buka mulut memberitahu dia juga bomoh yang menggunakan telur untuk menipu ramai orang. Patung ‘saka’ yang diletak oleh sahabatnya dalam kenderaan tadi, dibawa naik si pemandu. Diletak dekat dengan kakinya yang menggeletar. Dia terkencing dalam seluar tanpa disedarinya. 

 “Saya fikir kamu benar-benar dukun yang boleh membantu saya melupakan dan membuang rasa berdosa saya selama ini. Ternyata, kamu tiada bezanya.”

Dunia di belakangnya mengecut. Monyet-monyet dalam kertas dinding mengejeknya dengan bertepuk tangan mengelilinginya. Dia berasa kerdil. Sayup-sayup suara lelaki yang sedang beredar dari ruang tamu itu berkata; kita serupa. 


Pengarang :