Orang ramai menggunakan pelitup muka di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Kes baharu Covid-19 Selangor kekal tiga digit

SHAH ALAM, 5 MAC: Kes baharu positif Covid-19 di Selangor hari ini kekal tiga digit dengan 794 kes meningkat berbanding semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 423 mendapat jangkitan daripada kontak rapat.

“Manakala, 243 kes daripada kluster sedia ada termasuk kuster baharu diikuti lain-lain saringan (126) dan kes import (dua).

“Selain itu, terdapat lima kluster baharu membabitkan jangkitan di tempat kerja iaitu kluster Tapak Bina Jalan Zamrud, kluster Jalan Dato Sellathevan, kluster Industri Cheras Jaya, kluster Meranti Utama dan kluster Kampung Nyatoh,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lima kes kematian berlaku di negeri itu hari ini melibatkan tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 55 hingga 87 tahun.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata jumlah kes pulih adalah sebanyak 866 kes menjadikan keseluruhan sembuh 100,107.

Jumlah kes aktif yang dirawat pula sebanyak 2,079 kes yang mana lapan daripadanya adalah kes import.


Pengarang :